Friday, 4 May 2012

40- Raja? Permaisuri?


Hari ini, secara tidak sengaja saya mendengar beberapa orang menyebut istilah King control dan Queen Control dalam perbualan mereka. Sejenak saya terfikir, apakah maksud sebenar di sebalik perwatakan king control dan Queen Control ini? Adakah kedua-duanya bermaksud penguasa, iaitu lelaki yang bersifat King Control akan menguasai perempuan sepenuhnya, manakala perempuan yang bersifat Queen Control akan menguasai lelaki sepenuhnya? Adakah wajar keadaaan sedemikian wujud? Biasanya istilah ini dirujuk kepada pasangan suami-isteri. Jika si isteri yang dilihat lebih banyak mengawal pergerakan si suami, maka akan timbullah gelaran Queen Control. Jika keadaan berlaku sebaliknya, akan timbul pula gelaran king control. Baiklah, saya berasa tidak berasas sebenarnya kedua-dua gelaran ini diberikan sama ada kepada suami mahupun isteri. Hal ini demikian kerana, rukun hidup sebagai suami-isteri adalah untuk saling-melengkapi. Taraf isteri adalah di sisi suami, bukan di bawahnya jauh sekali di atasnya. Memang terdapat ungkapan bahawa syurga isteri di bawah telapak kaki suami dan suami berhak mengawal perlakuan isteri. Walaupun benar penyataan tersebut, tetapi sebagaimana dikatakan tadi, suami-isteri adalah pasangan yang saling-melengkapi. Jika salah, kedua-duanya boleh saling menegur dan ditegur. Tidak wajar jika hanya salah seorang yang berkuasa penuh ke atas seorang lagi. Oleh yang demikian, adalah baik sekiranya kita sebagai masyarakat cuba mengikis stigma tersebut.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*




39- Mahu? Malu?


Menyebut  tentang makanan, saya yakin dan percaya bahawa setiap individu pasti mempunyai makanan kegemaran tersendiri yang melambangkan pula identiti negeri asalnya. Misalnya, jika di Kelantan, makanan kegemaran mereka pastilah budu. Pulau Pinang terkenal dengan jeruk buah. Melaka pula ialah cencaluk. Demikian pula bagi Perlis, iaitu belacan. Di Johor, penggemar tempe ramai di sana. Negeri-negeri lain juga pastinya begitu. Saya berasa hairan pula melihat sesetengah orang yang tidak mahu mengaku dan mengamalkan makanan tradisi yang biasa diamalkan jika di negeri asalnya. Keadaan ini dapat dilihat dalam kalangan perantau, baik pekerja mahupun pelajar. Adakah mereka berasa bahawa standard mereka akan jatuh sekiranya mereka berbuat demikian? Saya pelik apabila ada yang sanggup berpura-pura mengatakan bahawa belacan itu busuk semata-mata untuk menjaga imejnya di hadapan kawan-kawan yang tidak memakan belacan. Ada juga yang mengaku tidak gemar budu. Sebaliknya, apabila pulang ke negeri asal, makanan itulah yang dicarinya terlebih dahulu. Janganlah kerana imej, kita sanggup menolak nilai makanan yang biasa menjadi amalan kita dan keluarga sejak bertahun-tahun lamanya. Sepatutnya kita berbangga dengan apa yang kita ada. Makanan juga salah satu budaya Melayu bukan?
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*





38- Seorang? Kumpulan?


A: Nanti kita buat macam ni ya tugasan kita?
B: Kita boleh cari kaedah yang lain juga.
C: Ya, nanti apabila cukup semua bahan, kita berbincang semula.
Pertemuan seterusnya.
A: Lihat, saya sudah siapkan tugasan kita. Cantik tak?
B: Awak buat seorang?
A: Ya, kan kita sudah setuju untuk buat begini.
C: Tapi kan kita sudah berjanji untuk berbincang dahulu dan membuatnya bersama-sama.
A: Oh, tak mengapa. Saya rasa saya buat seorang pun sudah cukup.
B+C: ???

Ah, bekerjasama dengan orang sebegini ada kalanya memudahkan. Mudah apabila kita tidak perlu risau tentang apa-apa kerja kerana yakin sudah pasti dia akan melakukan kesemuanya. Kadangkala merumitkan juga. Bagaimana jika apa yang dilaksanakannya itu tidak bertepatan dengan arahan yang diberikan. Nescaya satu kumpulan akan menerima nasibnya. Bukankah banyak kepala itu lebih baik daripada satu kepala? Maksudnya perkongsian idea lebih baik daripada idea yang diperah secara berseorangan. Baiklah, katakan sahaja tugasan kumpulan yang dilaksanakan oleh salah seorang ahli kumpulan kita secara bersendirian tepat 100% dan diterima sepenuhnya oleh penilai. Apakah nasib ahli-ahli kumpulan yang lain? Apakah pulangan buat mereka dari sudut ilmu? Maknanya mereka hanya mendapat markah semata-mata, sebaliknya ahli kumpulan yang melaksanakan secara berseorangan itu mendapat kedua-dua manfaat, iaitu markah dan ilmu yang tidak ingin dikongsi bersama. Ingat, yang penting ialah kerjasama,.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Tuesday, 1 May 2012

37- A? B?


Lidah biawak…ya, satu simpulan bahasa dalam bahasa Melayu yang sangat keras maksudnya. Simpulan bahasa ini ditujukan kepada sesiapa sahaja yang suka bercakap secara berbelit-belit. Maksudnya, pada satu ketika dia bercakap seperti lain. Kemudian pada waktu yang lain, lain pula yang dicakapkan atau disampaikan. Orang-orang sebegini pasti akan menimbulkan masalah dan amarah yang tinggi terhadap orang sekelilingnya. Saya terdetik untuk menulis tentang hal ini kerana saya asyik sahaja berdepan dengan orang yang bersifat lidah biawak ini. Sungguh, saya berasa sangat susah untuk berurusan dengan orang sebegini. Pada ketika dia menyuruh atau meminta kita melaksanakan sesuatu kerja dengan arahan yang tertentu, akhirnya setelah disiapkan, hasil kerja tersebut dikritiknya pula. Keadaan yang membuatkan seseorang marah kepada orang-orang begini adalah apabila dia cuba memutar-belit pula apa yang disampaikan dalam arahan terdahulu. Keadaan ini menunjukkan bahawa dia seolah-olah cuba menyimpulkan bahawa kitalah yang bersalah, iaitu tidak faham akan arahan yang diberikan.  Semoga pemilik lidah biawak ini sedar akan kekhilafan mereka dan tidak mencuba untuk membenarkan yang salah mahupun menyalahkan yang benar.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*








Monday, 30 April 2012

36- Perancangan Bahasa

Untuk mendapatkan bahasa yang bermutu yang mampu digunakan dalam era globalisasi pada hari ini, perancangan bahasa dilihat sebagai satu aspek yang cukup penting. Perancangan bahasa bermaksud pembinaan bahasa secara sedar untuk memungkinkan sesuatu bahasa itu berupaya menyeimbangkan dengan fungsi-fungsi baru yang dikenakan ke atasnya. Bahasa Melayu dirancang supaya dapat menjadi bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang dan kehakiman, bahasa ilmu, dan seluruh bahasa dalam sistem kehidupan moden.

Menurut Haugan (1972:287), perancangan bahasa ialah aktiviti normatif sesebuah akademi atau jawatankuasa bahasa, semua bentuk aktiviti yang dikenal nama pemupukan bahasa (language cultivation dan semua cadangan yang menuju ke arah reformasi bahasa atau penyeragaman.

Di Malaysia sendiri, perancangan bahasa ini giat dijalankan terutama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjadi induk kepada setiap perancangan bahasa yang ingin dibuat. Di awal penubuhan DBP, badan ini digelar Balai Pustaka, namun atas cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III, namanya telah diubah kepada nama sekarang, iaitu DBP. Pada tahun 1959, melalui Akta Parlimen, DBP berubah menjadi sebuah perbadanan.

Tujuan utama penubuhan DBP ialah untuk memupuk dan memperkaya BM melalui penyelidikan, penerbitan, dan penyebaran bahan-bahan dalam BM. Sejak lebih 30 tahun penubuhannya, banyak kemajuan telah dicapai.
Kecemerlangannya dapat dilihat dalam aktiviti yang dijalankan oleh DBP, iaitu

1) Penyeragaman Bahasa
- DBP cemerlang menjayakan penyelesaian masalah ejaan, terutama tercapainya ejaan bersama Melayu-Indonesia pada tahun 1972. Aspek-aspek lain ialah penyeragaman tatabahasa dan sebutan.

2) Penerbitan
- DBP mengadakan bahan bacaan, terutama buku-buku teks untuk institusi pengajian. DBP turut menerbitkan majalah yang bermutu dan mendapat sambutan.

Oleh hal demikian, dapatlah kita nyatakan bahawa peranan DBP dalam proses perancangan bahasa amat besar. Tanpa adanya badan sebegini, nescaya perancangan bahasa di Malaysia tidak akan bergerak pantas.



Friday, 27 April 2012

35- Maju? Mundur?


Penulisan saya pada hari ini berkisar tentang aspek intelek dan rohani. Kita sering ditekankan untuk menyeimbangkan antara aspek rohani dan intelek dalam kehidupan. Masalahnya sekarang, kelihatan betapa dua entiti tersebut seolah-olah mempunyai jurang yang besar. Saya berkata demikian melihat kepada fenomena-fenomena yang berlaku pada hari ini. Masakan tidak, baru hari ini negara kita digemparkan dengan berita skandal seks seorang guru pada muka utama akhbar tempatan. Bukankah tindakan tidak bermoral dan rendah sahsiahnya itu dilakukan oleh seorang ahli akademik? Alangkah sedihnya apabila keadaan ini menular dalam negara kita. Apabila pencapaian intelek tidak selari dengan perkembangan sahsiah, bagaimana negara bangsa kita dapat dimajukan sepenuhnya? Apakah yang pasti terjadi jika para intelektual sibuk mengejar pembangunan negara tanpa memikirkan kesan negatifnya terhadap makhluk-makhluk  lain? Semuanya dapat kita jawab dengan menyelak jendela hati kita sendiri.Apalah gunanya negara kita maju jika peribadi kita mundur..
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*




Thursday, 26 April 2012

34- Senyap? Bising?


Pada hari Jumaat yang lalu, saya telah pulang ke kampung dengan menaiki bas ekspres. Perjalanan selama sejam dari Tanjung Malim ke Ipoh saya rasakan sebagai satu perjalanan yang amat seksa bagi saya. Hal ini demikian kerana kebiasaannya saya pat tidur juga sebentar walaupun tempoh perjalanan hanya sejam lebih. Walau bagaimanapun, pada hari itu saya berasa sangat tidak selesa untuk tidur disebabkan gangguan yang ada di dalam bas yang saya naiki itu. Gangguan yang saya maksudkan itu datangnya daripada dua orang penumpang India yang bersembang dengan sangat kuat. Saya tidak hairan jika mereka duduk berjauhan. Sebaliknya, mereka hanya duduk sebelah-menyebelah pula bersebelahan dengan kerusi yang saya duduk. Dengan butir-butir bahasa yang saya tidak faham, saya berasa sangat rimas. Untuk seketika, saya ada melihat mereka dengan harapan mereka faham isyarat saya supaya bersembang dengan lebih perlahan. Namun begitu, tetap tidak ada sebarang perubahan. Malah, mereka terus bersembang dengan nada yang sangat kuat. Saya berasa keadaan tersebut bukan hanya mengganggu saya seorang, bahkan penumpang-penumpang yang lain juga. Saya mengandaikan demikian melihat kepada gelagat penumpang lain yang juga kelihatan seolah-olah tidak selesa dengan tingkah laku mereka berdua sejak awal perjalanan. Demikianlah, keadaan tersebut berlanjutan sehinggalah bas tiba ke destinasi, iaitu di Medan Gopeng, Ipoh. Semoga tidak ada dalam kalangan kita yang bersikap demikian, kerana gangguan yang dilakukan langsung tidak mencerminkan ketinggian budi bahasa kita terhadap orang lain.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Wednesday, 25 April 2012

33- Tumbuh? Musnah?


Pada minggu ini, satu Kempen Perkampungan Hijau rancak dilaksanakan oleh sebilangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Usaha mereka sangat bernas demi memelihara alam sekitar kita. Kehijauan tumbuh-tumbuhan sebenarnya anugerah yang tidak ternilai buat kita semua, penghuni alam buana yang bertuah. Setiap kali  saya pulang ke kampung, saya begitu terpesona dengan keindahan suasana di sepanjang perjalanan yang lebuh raya sangat menyejukkan mata saya. Pada masa itu, mulalah terlintas di fikiran saya bagaimanakah jika semua keindahan dan kehijauan yang kita miliki ini tiba-tiba lenyap? Pasti tidak akan ada lagi semangat untuk kita semua bangkit meneruskan kehidupan. Masakan tidak, tumbuh-tumbuhan hijau itulah sebenarnya pembekal oksigen yang sangat berguna buat kita semua. Tumbuh-tumbuhan hijau itu jugalah yang menjadi habitat dan penyambung nyawa bagi makhluk-makhluk yang lain termasuklah haiwan. Ya, kita biasanya mewajarkan kemusnahan tumbuh-tumbuhan demi pembangunan negara. Tangan-tangan kita inilah yang secara tidak langsung membangunkan dan cuba memusnahkan negara dalam masa yang sama. Jika kita bijak menyeimbangkan antara usaha untuk memajukan negara dengan mengekalkan kelestarian alam, pasti kita akan meraih dan menikmati hasil daripada tindakan positif yang kita lakukan. Sesungguhnya, Allah mengurniakan kita akal dan tenaga untuk kita bijak mengadunkan fungsinya demi kebaikan yang berpanjangan.
 *BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP-


Tuesday, 24 April 2012

32- Cantik? Pelik?


Hari ini asyik saya menonton video nyanyian Jalil Hamid, iaitu lagu Ayam, saya teringat pula akan lagu beliau yang bertemakan makanan. Contoh lirik lagu tersebut ialah:-
Makanan pelik-pelik…Tahi minyak tahi itik….
Ya, kita tidak dapat nafikan bahawa di dunia ini meski di mana-mana sahaja pasti terdapat walau tidak banyak, sedikit makanan yang pelik. Pelik dari segi kewujudannya, rupa fizikalnya mahupun namanya. Namun begitu, keganjilan makanan yang pelik-pelik ini pada saya tidak ada apa-apa yang perlu untuk kita terlalu memikirkannya. Apa yang ingin saya kongsi di dalam entri ini adalah tentang pakaian manusia yang pelik-pelik. Saya mengamati, semakin bertambah arus kemajuan dalam bidang fesyen, semakin pelik pula fesyen yang digayakan oleh sebilangan masyarakat yang terlalu obsesi dengan dunia fesyen. Sebelum bercerita, saya ingin memohon maaf seandainya cerita yang saya paparkan ini menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Saya bukan ingin menunjuk pandai, tetapi hanya ingin berkongsi dengan semua. Semasa sedang berjalan-jalan di dalam pasar raya bersama-sama dengan kakak saya beberapa minggu yang lalu, kami berdua terpana apabila melihat seorang gadis yang unik penampilannya.  Masakan tidak, gadis tersebut menggayakan kemeja berwarna kuning terang. Selendang kepalanya berwarna coklat gelap. Manakala beg tangannya pula berwarna hitam di samping jeans yang berwarna kelabu serta kasut sarung berwarna merah terang. Rasa terkejut kami berdua disusuli dengan sedikit ketawa kecil. Demikianlah betapa cara pemakaian turut memberi impak kepada seseorang. Saya lantas mengandaikan bahawa sesetengah orang lain mungkin tidak meramal atau membaca perwatakan kita semata-mata secara personal. Pasti ada yang menganalisis diri kita berdasarkan apa yang dilihat dari luar seperti melihat secara teliti akan pemakaian kita. Oleh yang demikian, berhati-hatilah dalam memilih soal gaya, corak, warna dan kesemua elemen lain yang berkaitan dengan fesyen kita. Hal ini demikian bukanlah untuk orang-orang tertentu sahaja, bahkan termasuklah untuk semua golongan masyarakat. Dengan begitu, tidak akan adalah umpatan atau sindiran daripada masyarakat sekeliling meskipun dalam hal yang kita rasakan tidak terlalu menjadi masalah. Bukankah soal berpakaian juga mencerminkan bahasa dan budaya masyarakat?
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP-

Monday, 23 April 2012

31- Masak? Makan?


Sedapnya bubur pulut hitam yang teman serumah masak hari ini. Sempat jugalah saya merasanya. Semasa menikmati bubur tersebut, tiba-tiba saya menjadi sebak kerana teringatkan masakan bubur pulut hitam yang dimasak oleh arwah emak . Memang dia rajin memasak bermacam-macam jenis bubur. Baik bubur pulut hitam, bubur kacang hijau, bubur kacang merah, bubur gandum dan lain-lain. Biasanya bubur yang siap dimasak itu akan disuruhnya hantar ke rumah jiran(sepupu saya) terlebih dahulu sebelum kami sendiri yang menikmatinya. Alangkah baiknya hati emak. Langsung tidak lokek khususnya dalam soal makan. Apa-apa yang dimasak sebagai juadah minum petang pasti akan disuruhnya hantar ke rumah jiran saya. Itu pada hari-hari biasa. Keadaan akan jadi semakin meriah seaktu bulan puasa. Arwah ayah juga begitu. Jika waktu telah hampir untuk berbuka puasa, tetapi saya masih belum menghantar juadah kepada jiran, maka nescaya saya akan terpaksa berlari-lari juga hantar. Memang arwah ayah dan emak sangat berbudi bahasa dengan orang lain. Mereka juga langsung tidak mengharapkan apa-apa balasan. Bahkan, mereka sendiri berasa sangat puas apabila jirang-jiranmg menikmati apa-apa yang diberikan oleh mereka. Kini, walaupun mereka telah tiada, budaya tersebut tetap saya amalkan. Ya, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Friday, 20 April 2012

30- Ucapan? Hadiah?


Hari ini saya tiba-tiba terkenangkan hari lahir kakak saya yang baru sahaja berlalu hampir dua minggu yang lalu. Saya menjadi sedih pula kerana tidak memberikan apa-apa hadiah kepadanya. Tambah sedih apabila mengingat kembali akan kemurahan hatinya membelikan hadiah-hadia yang mahal setiap kali menjelangnya hari lahir saya. Ah, hati saya berbisik yang mungkin tidak ada apa-apa masalah kerana saya saya masih belajar. Masih belum mampu untuk membelikannya hadiah. Sejenak hati saya berdetak. Perlukah memberikan hadiah yang mahal sahaja? Apakah dia tidak senang jika saya memberikannya hadiah yang murah? Bukankah niat pemberian itu yang lebih perlu untuk diutamakan? Subhanallah, makin menyesal hati saya. Memang tidak dinafikan, saya ada memberi ucapan pada pagi hari lahirnya. Saya lihat terdapat segaris senyuman mekar di bibirnya. Memanglah sebagai kakak, ucapan daripada satu-satunya adik yang dia ada adalah sesuatu yang paling dirasai. Di sebalik senyuman itu, saya merasakan yang kakak ada mengharapkan pemberian daripada saya. Tetapi dengan lagak santunnya yang ternyata melebihi saya, dia langsung tidak berkata apa-apa. Lain benar dengan saya dahulu, sebelum dia memberi ucapan lagi saya sudah bertanyakan tentang hadiah. Mungkin itulah perbezaan antara adik dengan kakak. Saya mencongak pula, perlukah kita memberikan hadiah? Adakah jika tidak memberi hadiah pada hari seseorang bermaksud kita  tidak sayangkannya? Wajarkah kasih sayang diukur dengan nilai hadiah yang diberi? Ya, masing-masing terletak pada penilaian diri sendiri. Pada hemat saya, jika tidak memberikan hadiah tetapi masih memberikannya ucapan yang indah dan bermakna, keadaan itu masih lagi menggambarkan ingatan kita buatnya. Cuma pemberian hadiah itu sebagai cenderamata untuk menambahkan lagi keriangan di haitnya.
# Nekad untuk membelikan hadiah hari lahir buat satu-satunya kakak saya walaupun sudah hampir dua minggu hari lahirnya berlalu. Semoga dia gembira. InsyaAllah.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Thursday, 19 April 2012

29- Tindakan? Kemalangan?


Mengikuti kursus Bahasa dan Komunikasi sewaktu semester tiga telah memahamkan saya bahawa bahasa terbahagi kepada dua jenis, iaitu bahasa lisan dan bukan lisan. Lisan adalah tentang apa yang diujarkan melalui alat-alat artikulasi. Bukan lisan pula termasuklah apa yang ditulis atau diperlihatkan menerusi bahasa badan. Fungsi bahasa pula adalah untuk membina perhubungan, di samping untuk menyampai dan menerima maklumat. Demikianlah, bahasa turut digunakan untuk memperlihatkan suara hati kita. Menjadi lumrah manusia, kadang-kadang apa yang dirasai tidak mudah disuarakan kepada orang lain, meskipun terhadap sahabat karib sendiri. Saya menyerlahkan topik ini berdasarkan alasan tersendiri. Baru-baru ini universiti saya telah gempar dengan kejadian seorang pelajar perempuan semester empat yang meninggal dunia setelah dikatakan terjatuh dari bangunan E-Learning. Berhubung dengan kes tersebut, saya telah mendengar pelbagai andaian tentang punca dia terjatuh Antaranya termasuklah dia mempunyai penyakit misteri sehingga mendengar bisikan-bisikan halus agar dia bertindak terjun dari bangunan  itu. Ada juga yang mengatakan bahawa arwah mempunyai masalah keluarga. Tertekan dengan keadaan tersebut, dia bertindak membunuh diri. Sekiranya benar, adakah dia melakukan demikian sebagai cara untuk mempamerkan perasaan kecewa, tertekan, sedih dan sebagainya? Hal ini demikian kerana pada awal tahun yang lalu, saya pernah terbaca berita dalam akhbar bahawa seorang gadis berbangsa cina nekad membunuh diri akibat kecewa setelah bergaduh dengan teman lelakinya. Maksudnya, gadis tersebut cuba melampiaskan rasa marah dan kecewanya dengan membunuh diri. Hal ini demikian supaya teman lelakinya tahu bahawa dia sangat mencintai teman lelakinya itu. Demikianlah betapa cinta, marah, sedih kecewa diungkapkan dengan cara yang tidak bermoral. Bukankah kita dikurniakan pelbagai pilihan untuk mengungkapkan kesemua rasa tersebut? Kenapa bahasa lisan yang boleh dimanfaatkan dengan baik sengaja dinafikan kepentingannya? Hmm, apa-apa pun, Wallahualam. Semua kebenaran hanya diketahui oleh-Nya. Sebagai manusia biasa, apa yang harus kita lakukan adalah dengan bersangka baik dan berdoa agar dijauhkan daripada sebarang kecelakaan.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Wednesday, 18 April 2012

28- Kura-kura? Manusia?



Hari ini saya sempat menonton filem Cinta Kura-kura bersama-sama dengan teman serumah. Sangat menarik jalan cerita tersebut. Kombinasi barisan pelakonnya juga adalah hebat. Mana tidaknya, filem tersebut dibintangi oleh Zizan Raja Lawak, Usop Wilca, Fara Fauzana, Aeril Zafril, Bob Af dan heroinnya pula ialah Tiz Zaqiah. Pada pandangan saya, kehebatan jalan cerita bagi filem ini terletak pada watak-wataknya, iaitu penampilan manusia biasa dan kura-kura yang boleh bercakap dengan manusia. Jika difikirkan dari segi logik, memanglah tidak logik bunyinya. Namun, hasil sentuhan dan garapan pengarahnya, saya yakin dan percaya bahawa penonton mampu menerima keunikan yang terdapat dalam filem tersebut meskipun tidak logik. Menonton filem tersebut memang menyeronokkan. Dialog pelakon yang lucu memang membuatkan kami mampu ketawa besar. Ada satu perkara yang amat menarik perhatian saya, yang saya fikir ada kaitan dengan sosiolinguistik. Perkara tersebut adalah tentang dialek antara penjual akuarium, iaitu Fazli(lelaki Melayu) dengan seorang tauke restoran makanan eksotik, iaitu En. Lim(lelaki cina). Saya mendapati Fazli yang berbangsa Melayu berkomunikasi dengan En. Lim menggunakan dialek cina. Antara contoh tersebut:
Mr Lim: Hei, lu mesti dapat itu kula-kula jantan.
Fazli    : Kura-kura?
Mr Lim: Ha, itu kula-kula yang wa ada mintak sama itu pelempuan itu hali.
Fazli    : Oh, itu kura-kura. Tapi toke, lu kasi kenal saya punya business sama kawan-kawan you                  la
Mr Lim: Takda masalah punya.
Berdasarkan dialog di atas, kita dapat melihat betapa Fazli secara tidak langsung cuba menggunakan dialek cina apabila berkomunikasi dengan orang berbangsa cina. Saya tidak menolak bahawa ramai lagi masyarakat kita yang menjadi seperti Fazli. Keadaan yang sama turut terjadi kepada kakak saya yang bekerja di syarikat swasta yang majoritinya ialah bangsa cina. Demikian lama bekerja dalam kalangan orang cina, dia amat fasih untuk menggunakan dialek cina apabila berkomunikasi dengan mana-mana bangsa cina. Hakikat yang kita sedia maklum ialah bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara. Seharusnya orang cina yang berusaha untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul, buka kita yang terikut-ikut dengan dialeknya.

Tuesday, 17 April 2012

27- Suratan? Kebetulan?



Petang ini, sambil menyiapkan tugasan, telinga saya disajikan dengan lagu-lagu yang cukup indah oleh ‘deejay’ Suria FM. Deria bunyi saya menangkap jelas bait-bait lagu “Suratan atau Kebetulan” saat lagu tersebut ke udara. Setelah habis lagu mendengar lagu tersebut, saya mula memikirkan tajuknya- Suratan atau Kebetulan. Saya cuba mengaitkannya dengan realiti hidup kita sebagai manusia. Kadang-kadang saya sendiri keliru akan setiap perkara yang telah saya lalui sepanjang hampir 23 tahun hidup di bumi Allah S.W.T. ini. adakah semua perkara yang saya lalui itu sebenarnya memang satu suratan atau ada kalanya hanyalah kebetulan semata-mata. Untuk lebih jelas, suratan bermaksud takdir atau ketetapan Allah S.W.T. terhadap makhluk-Nya. Kebetulan pula ialah sesuatu yang berlaku tanpa disangka-sangka atau disengajakan. Kadang-kadang apabila kita gagal dalam peperiksaan, kita menyejukkan hati dengan berkata “Ah, itu kan takdir. Allah dah tetapkan kita akan gagal. Jadi terima sahaja”. Astaghfirullah, jika kegagalan itu disebabkan sikap kita yang sengaja tidak mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan, adakah wajar kita menyalahkan takdir Allah? Demikian pula, apabila kita sebenarnya berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya, pasti kita marah jika orang lain mengatakan bahawa kejayaan kita hanya satu kebetulan. Mungkin kebetulan pada masa itu guru atau pemeriksa baik hati untuk memberi markah tinggi. Walau apa sekalipun tanggapan kita, adalah lebih baik jika kita semua kembali kepada hakikat yang sebenar. Apabila menyebut tentang takdir atau ketetapan Allah S.W.T., sebenarnya takdir itu terbahagi kepada dua, iaitu Takdir Muallaq(berubah-ubah) dan Takdir Mubram(tetap). Takdir yang berubah-ubah termasuklah perihal rezeki kita. Oleh itu, kita diseru untuk berusaha bagi memperoleh rezeki yang banyak dan halal pula. Oleh itu, sebagaimana contoh peristiwa di atas, iaitu perihal kejayaan dan kegagalan dalam peperiksaan, kita tidak boleh menyerahkan kepada takdir semata-mata. Paling penting, berusaha, berdoa dan bertawakal. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu. Bagi yang berhadapan dengan pelbagai masalah pada masa yang sama, anggaplah itu semua sebagai ujian daripada Allah S.W.T. untuk memandu kita ke arah yang lebih baik.

Monday, 16 April 2012

26- Memberi? Menerima?


Hari ini sepanjang berbual dengan rakan, timbul cerita yang asyik kami bualkan. Menyentuh tentang isu kerja berkumpulan, perkara yang menjadi isu perbincangan kami adalah sebagaimana yang pernah saya ceritakan dalam entri sebelum ini. Halnya adalah tentang posisi tumpang-menumpang atau parasit. Kata rakan saya itu, dia cukup marah apabila ada dalam kalangan ahli kumpulannya yang tidak memberi kerjasama sewaktu melaksanakan tugasan, sebaliknya hanya bertanyakan perkembangan tugasan tersebut pada saat-saat akhir sahaja, iaitu apabila tugasan tersebut perlu diserahkan. Hakikatnya, saya juga berperasaan seperti rakan saya itu sekiranya berhadapan  dengan situasi yang sama. Cuma, Alhamdulillah buat masa sekarang saya dikurniakan rakan sekumpulan yang bertimbang rasa dan bertanggungjawab dalam semua tugasan kumpulan yang pernah saya terima. Semoga Allah membukakan pintu hati mereka yang suka mengambil kesempatan di atas usaha orang lain. Janganlah menjadi seperti parasit yang hanya mahu menerima keuntungan semata-mata tanpa memberi sebarang sumbangan yang wajar.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN AMSYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

25- Pemandu? Penumpang?


Hari ini saya ke kelas seperti biasa. Ya, seperti biasa, ke kelas dengan menaiki bas. Dalam keadaan yang berhimpit-himpit di dalam bas itu saya membayangkan apakah yang akan terjadi sekiranya bas tersebut mengalami kemalangan(nauzubillahiminzalik). Pasti yang akan terselamat hanya sebilangan kecil sahaja, atau lebih parah tidak ada seorang pun yang akan selamat. Demikianlah gambaran bagi tingginya risiko kesemua penumpang bas ke kelas. Hal ini demikian termasuklah yang menaiki bas ke kampus lama mahupun ke kampus baru di bumi Tanjong Malim ini. Seperti menyerahkan nyawa sepenuhnya kepada pemandu bas untuk dijaga dengan baik, apakah setiap pemandu bas sebenarnya menyedari akan tanggungjawab yang dipikul itu? Iaitu untuk memastikan kesemua penumpang tiba ke destinasi mereka dengan selamat. Memang tidak dapat dinafikan, jodoh dan maut atau ajal itu di tangan Allah. Tetapi sebagai pemikul amanah, adakah pemandu-pemandu bas ini telus dengan apa dilakukan oleh mereka. Saya berkata demikian melihatkan fenomena yang saya alami setiap hari. Selagi bas belum terisi dengan penumpang yang tak ubah seperti ikan sardin padatnya, maka selagi itulah bas tidak akan bergerak walaupun seinci. Hanya apabila penumpang telah padat sehingga membolehkan muka melekat pada pintu bas barulah bas tersebut rela bergerak. Keadaan yang lebih membimbangkan adalah apabila bas yang muatannya penuh itu meluncur laju di atas jalan raya bagai F1 lagaknya. Walaupun kami yang pelajar ini bukanlah termasuk dalam golongan ibu mengandung mahupun pesakit jantung, tetapi dengan keadaan bas yang penuh dan dipandu laju sedemikian rupa memang mampu membuatkan hati kami kecut seperti kain basah yang diperah-perah. Semoga semua pemandu bas mengerti akan peranan mereka sebagai pemandu bas, iaitu menjamin keselamatan pelajar agar mereka dapat tiba ke destinasi ilmu dengan selamat. Sesungguhnya kesedaran ini juga adalah sebagai satu usaha  murni untuk menggalas harapan kesemua ibu bapa  pelajar. 
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

24- BM? BI?

Cuti pertengahan  semester  pada minggu lalu telah memberikan saya kesempatan untuk bertemu dengan nenek saya. Satu-satunya nenek yang masih ada. Mendengar segala celotehnya memberikan saya semangat untuk tersenyum dan sekali-sekala ketawa. Ternyata dia sungguh pandai menghiburkan hati saya. Sembang-sembang kosong selama hampir dua jam pada petang hari saya ke rumahnya itu telah menarik minat saya terhadap satu perkara. Perkaranya adalah tentang percampuran kod antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, tetapi mengikut dialek orang tua. Contohnya:-
                     Gomen-government (kerajaan)= kerja gomen(kakitangan kerajaan)
                     Keri-carry (membawa)= keri basikal(menunggang basikal)
                     Sep-save (jimat) = sep duit (kedekut)     

Wednesday, 4 April 2012

23- Melayu? Cina?



Alhamdulillah, hari ini saya sempat menghadiri satu forum bahasa Melayu, iaitu ‘Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris dalam Konteks Pendidikan Sekolah”. Apa yang menarik minat adalah pada bahagian penghujung forum, iaitu saat seorang ahli panel berbangsa cina(Prof. Dr. Teo Kok Seong) berucap. Menurut beliau, bahasa Melayu memberi tiga nilai utama kepada bangsa Melayu. Pertamanya ialah bahasa Melayu menjadi asas ilmu pengetahuan. Kedua, adalah sebagai khazanah budaya Melayu. Terakhir, bahasa Melayu itu dikatakan mempunyai nilai kognisi, iaitu menunjukkan atau mengajarkan cara orang Melayu memproses ilmu. Berhubung dengan nilai yang ketiga ini, Prof. Teo memberi penerangan ringkas yang begitu menarik perhatian saya. Maksud beliau, bahasa Melayu cukup membantu kita dalam usaha memproses sesuatu ilmu. Kita tidak perlu terlalu membangga-banggakan bahasa Inggeris walaupun fungsinya juga adalah sebagai alat untuk mendapatkan ilmu. Beliau memberi contoh, ada segelintir masyarakat Melayu yang terlalu mengikut acuan orang Inggeris sehinggakan apabila sendawa pun dia menyebut “Maafkan saya.” Hal ini demikian menurut Prof. Teo bercanggah dengan adab dan budaya Melayu kerana ucapan tersebut merupakan terjemahan langsung daripada bahasa Inggeris “I’m sorry. Bagi masyarakat barat, sendawa adalah sesuatu yang menjijikkan atau tidak sopan. Berbeza pula bagi orang Melayu(agama Islam), sendawa sebenarnya merupakan anugerah Allah, dan apabila seseorang itu sendawa, adalah lebih afdhal menyebut “Alhamdulillah(segala puji bagi Allah)”. Demikianlah betapa kagumnya saya mendengar ucapan Prof. Teo dalam forum siang tadi. Melihatkan orang bukan Melayu dapat memberi buah fikiran dan nasihat yang bernas buat orang Melayu, membuatkan diri ini berasa sangat insaf. Sesungguhnya beliau memang merupakan saudara orang Melayu kerana pemikiran, tutur kata dan budi bahasanya melambangkan identiti orang Timur sejati. Semoga keperibadian beliau dicontohi lebih-lebih lagi oleh anak Melayu sendiri. Semoga “Takkan Melayu hilang di dunia”.

Tuesday, 3 April 2012

22- Hulur? Terima?

Saya hairan dengan sikap negatif segelintir masyarakat kita terhadap anggota masyarakat yang lain. kadang-kala mereka sangat mewah dalam soal berbelanja sehinggakan barang-barang yang langsung tidak menjadi keperluan turut dibeli. demikian juga dalam soal pemakanan, ammpu membelanjakan wang yang besar semata-mata mahu membeli makanan yang terasa enak saat melihat. kesemua itu dilakukan tanpa perlu difikir dua kali. Apa yang menghairankan saya adalah, dalam soal derma, segelintir masyarakat kita bukan sahaja berfikir dua kali, bahkan berkali-kali. Seolah-olah wang yang minta didermakan itu mampu meruntuhkan simpanan wangnya. Kita seharusnya sedar bahawa rezeki yang dikurniakan Allah itu sebenarnya milik bersama. bukan untuk dikongsi semuanya, tetapi cukup sebahagian kecil buat golongan yang memerlukan. Sesungguhnya, tangan yang di atas sangat mulia berbanding tangan yang di bawah. Anggaplah permintaan derma tersebut sebagai laluan yang terbentang luas untuk kita mendekatkan diri kepada-Nya.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP-

Monday, 2 April 2012

21- Peribahasa...


PEPATAH
Pepatah adalah salah satu unsur dalam peribahasa Melayu. Pepatah ialah kiasan yang mengandungi erti yang sebenarnya, digunakan untuk mematah atau memutuskan pembicaraan orang lain. Pepatah lebih memberatkan tentang sifat ringkasnya, bijak perkataannya dan benar pengajarannya (Za’ba, 2002:170). Contoh pepatah= Biar lambat asalkan selamat, Alah bisa tegal biasa, bahasa menunjukkan bangsa dan sebagainya.

BIDALAN
Bidalan lebih memberatkan tentang sifat melekatnya di mulut orang ramai dan tentang bandingan dan teladan yang ada di dalamnya (Za’ba, 2002:170). Bidalan juga merupakan satu lagi bentuk dalam peribahasa Melayu yang digolongkan dalam sastera Melayu lama. Contoh bidalan seperti: Bawa resmi padi;semakin tunduk semakin berisi atau Ikut suka luka, ikut hati mati, ikut rasa binasa dan lain-lain.

TAMSILAN
Tamsilan berasal daripada bahasa Arab tamsil. Tamsilan bertujuan mengumpamakan seseorang atau sesuatu mengenai pekerti, tabiat dan keadaan. Biasanya, tamsilan dimulai dengan kata-kata: seperti, bagai, laksana. Menurut Za’ba (2002:170), tamsilan ialah peribahasa yang menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan atau dikiaskan kepada sesuatu perkara lain dan oleh sebab itu jadi ertinya dua lapis. Contoh tamsilan: Seperti bulan dipagar bintang, Seperti sirih pulang ke gagang, Seperti embun di hujung rumput dan lain-lain.

SIMPULAN BAHASA
Simpulan bahasa merupakan rangkaian perkataan atau ungkapan yang telah tersimpul dengan susunan yang khas dan digunakan dengan makna khusus, berlainan daripada makna asalnya (Safian Hussain, et al. 1988: 308). Bentuk majaz ini paling banyak digunakan oleh orang Melayukerana sifatnya yang ringkas dan dapat menyampaikan maksud dengan tepat, tajam dan berseni. Simpulan bahasa bukan sahaja terdapat dalam bahasa baku, tetapi juga dalam bahasa daerah atau dialek. Contoh simpulan bahasa dalam bahasa Melayu baku seperti: menongkat langit, berganti tikar, bongkok sabut atau dalam bahasa daerah seperti menangis tak berlagu, masuk jawi, puasa yukyup dan lain-lain.

Friday, 30 March 2012

20- Muzik? Lagu?


Hari ini saya berulang kali mendengar lagu Anak Kampung oleh Jimmy Palikat iaitu penyanyi dari Sabah.  Lagu tersebut sangat sedap didengar walaupun liriknya dalam dialek Sabah. Jadi, siapa kata lagu tempatan negeri kita tidak boleh dipopularkan? Paling penting ialah keyakinan dan kesungguhan kita untuk mengangkat darjat semua khazanah yang kita miliki. Sesungguhnya, usaha yang sedikit jika dilakukan berterusan pasti akan meraih keuntungan yang melimpah.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*



Thursday, 29 March 2012

19- Nama? Gelaran?


Hari ini saya secara tidak sengaja telah terdengar seseorang memanggil anaknya dengan panggilan ‘boy’. Ya, memang anaknya lelaki. Pada saya, mungkin itulah nama timangan atau nama manja bagi anaknya itu. Lantas saya teringat kepada diri sendiri yang sering dipanggil “pakya” oleh abang-abang pada masa kecil dahulu. Saya sendiri juga tidak tahu apakah makna nama tersebut. Tetapi saya langsung tidak kisah dipanggil demikian, malah tetap menyahut sekiranya dipanggil dengan nama itu. Tapi, kini tidak lagi. Tersenyum sendiri apabila teringatkan nama tersebut. Demikian juga, di dalam kampung saya terdapat ramai orang yang dikenali menerusi gelaran nama yang tersendiri. Gelaran ini biasanya digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang mempunyai nama yang sama dengan nama beberapa orang lain di suatu tempat atau kawasan yang sama. Pendek kata, melalui gelaran inilah maka seseorang itu dapat dibezakan antara satu dengan yang lain sekiranya mempunyai nama yang sama. Sebagai contoh, ada gelaran ‘Lah Wangi’, ‘Lid Kura’, ‘Lid Kurus’, ‘Lid Boroi’, ‘Man Sengau’, ‘Man Gajah’, ‘Man Bom’, ‘Mi Kalut’, ‘Mat Lanai’,  ‘Ad Biskut’, ‘Cina Pendek’ dan sebagainya. Itulah antara nama-nama gelaran bagi orang-orang di kampung saya. Nama-nama ini pula ada kaitan dengan siri orang itu sendiri baik dari segi sifat semulajadi, pekerjaan dan rupa fizikalnya. Kadang-kala kedengaran lucu juga apabila mendengar nama-nama itu disebut. Persoalannya, bagaimanakah penerimaan orang-orang itu sendiri, iaitu orang-orang yang digelar atau dipanggil dengan sedemian gelaran. Sukakah atau marahkah mereka? Sekalipun marah, mereka pasti tidak mampu untuk menahan orang lain daripada tetap memanggil dengan nama-nama tertentu. Apa yang penting, perlulah diingat bahawa sekalipun kita ingin memanggil orang lain dengan gelaran-gelaran tertentu, janganlah sehingga mencalarkan maruahnya atau merendahkan dirinya. Hal ini demikian kerana kita sendiri juga tidak senang sekiranya orang lain memperlakukan kita sebegitu.
#Tepuk dada, tanya selera.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Wednesday, 28 March 2012

18- Lembu? Sapi?


Hari ini sedang asyik membelek-belek barang di kedai runcit, entah bagainama mata saya menangkap satu barang, iaitu minyak sapi. Lantas dalam kepala terbayangkan hal yang minyak sapi itu sebenarnya bukanlah daripada susu sapi itu sendiri. Sebaliknya adalah daripada susu lembu. Aneh kan, lembu punya susu, tetapi sapi yang senang-senang mendapat nama. Namun, sebenarnya tidaklah aneh sangat, kerana dalam dunia realiti pun, keadaan ini turut belaku. Lebih dasyat, berlaku dalam kalangan manusia. Situasi paling kita tidak gemari tentulah apabila segala usaha kita dimonopoli oleh orang lain. Hal ini demikian berlaku apabila orang lain menggunakan namanya atas segala pekerjaan yang telah kita usahakan. Paling tidak enak apabila orang tersebut sedikitpun tidak mencurahkan apa-apa usaha walaupun sekelumit. Orang lain yang berpenat-lelah menyiapkan segala kerja, dia pula yang sedap-sedap meratah segala habuan. Semoga kita tidak tergolong ke dalam golongan orang yang mempunyai sifat-sifat tersebut.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*


Tuesday, 27 March 2012

17- Panggil? Jawab?



Pasti ramai yang masih ingat pada lagu ini:-
Telefon berbunyi ring..ring..ring..kuangkat kudengar suara
Telefon berbunyi ring..ring..ring..kujawab kutanya siapa
Hehehe. Kisah saya pada hari ini ada kaitan rapat dengan panggilan telefon. Sebenarnya sudah acap kali juga saya menerima panggilan daripada orang yang tidak saya kenali sepanjang lebih tujuh tahun menggunakan telefon bimbit. Hari ini, kejadian yang sama berulang lagi. Kebiasaannya apabila kita ingin mendail nombor seseorang, kita haruslah mengenali dirinya, iaitu khususnya dari segi nama orang yang ingin dihubungi itu. Tidaklah terjadi keadaan sebegini:-
(Pemanggil: A)
(Orang yang dihubungi: B)
            B: Hello?
            A: Hello, assalamualaikum.
            B: Waalaikumussalam. Siapa ini?
            A: Awak siapa?
            B: Awak mahu cari siapa?
            A: Yang menjawab panggilan ini siapa?
            B: Awak yang menelefon, jadi awak mesti tahu ini nombor siapa.
            A: Ya, jadi awak siapa?
            B: Awak siapa sebenarnya?
            ……………………….(talian dimatikan)
Mungkin panggilan sebegini sering dilakukan oleh segelintir orang yang berniat nakal, iaitu untuk mengusik teman-teman atau sebagai salah satu taktik untuk memikat seseorang(berkenalan). Mungkin juga disebabkan pemanggil ini malu untuk mengenalkan dirinya terlebih dahulu. Namun, jika benar bertujuan baik, tidak ada sebab untuk berasa malu. Tambah-tambah jika mempunyai hal penting untuk disampaikan. Bagi pihak yang dihubungi, keadaan begini pasti menyakitkan hatinya. Walaupun tidak susah untuk dia memberitahu siapa dirinya, tapi sebagai orang yang dihubungi, dia pasti mengandaikan pemanggil telah sedia tahu siapa dirinya.
# Demikianlah, apabila kita yang ingin menghubungi orang lain, maka wajarlah kita yang memperkenalkan siapa diri kita, bukan kita yang bertanya siapa diri orang yang kita hubungi itu. Sesungguhnya adab itu ada di mana-mana.
                                            
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*




Monday, 26 March 2012

16- Dialek

Dialek ialah satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial. Ia berbeza daripada bahasa standard. Perbezaannya adalah dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa, iaitu berbeza daripada bahasa baku. Digunakan secara tidak rasmi dalam perhubungan kekeluargaan dan perhubungan harian. Sebagai anak jati Pulau Pinang, saya juga mempunyai dialek tersendiri, iaitu dialek utara. sememangnya dialek diguanakn dalam perbualan sehari-hari bagi maksud tidak formal. Antara contoh dialek saya ialah:-
"Hang nak pi mana?" 
= "Awak mahu pergi ke mana?"
"Tak payah duk kalut pasai aku."
= "Jangan sibuk pasal say.?"
Selain berbeza sebutan, terdapat juga perbezaan kata yang jelas antara dialek Utara dengan Dialek Johor-Riau. Ciri utama dialek ini adalah sebutan ‘a’ dihujung kata yang dibunyikan secara baku.

Ejaan Standard              Dialek Utara

Saya                             Saya (mengikut sebutan baku)

Dia                              Dia (mengikut sebutan baku)

Mana                           Mana (mengikut sebutan baku)


#Huruf ‘r’ di akhir kata diganti dengan bunyi ‘q’. Lihat contoh:

Ejaan Standard              Dialek Utara

Bergetar                        Bergetaq

Ular                                Ulaq

Telur                             Teloq

#Bunyi ‘i’ di tengah digantikan dengan bunyi ‘ia’

Ejaan Standard           Dialek Utara

Pasir                          Pasiaq

Baligh                       Baliaq

#Kata-kata yang berbeza dengan Bahasa Melayu Standard.

BM Standard           Dialek Utara

Awak / Kamu            Hang

Mereka (bunyi Ä›)      Depa (sebutan baku)

Sekejap                   Sat

Kenapa (bunyi Ä›)     Awat


Pergi                       Pie

Kelapa (bunyi Ä›)     Nyo 

Friday, 23 March 2012

15- Peduli? Biar?


Hari ini saya membawa dua orang rakan pulang ke kampung untuk menyelesaikan satu tugasan. Selepas menyelesaikan tugasan tersebut, kami terus pergi membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang ke UPSI. Waktu menunjukkan hampir ke pukul dua petang sewaktu kami ingin bertolak pulang ke rumah. Malangnya kereta yang kami naiki tidak dapat dihidupkan. Setelah lima belas minit mencuba, akhirnya kami membuat keputusan untuk meminta bantuan orang terdekat. Alhamdulillah, ada juga seorang hamba Allah yang bermurah hati untuk menolong kami. Pelbagai cara cuba dilakukannya di tengah-tengah cuaca yang panas terik. Beliau bermandi peluh melihatkan kepada bajunya yang basah lencun. Setelah lebih sejam, akhirnya beliau dapat membaiki kerosakan yang terdapat pada kereta yang kami naiki. Malangnya, masalah lain pula yang timbul, iaitu kereta kami kehabisan minyak. Sekali lagi hamba Allah ini menolong kami dengan pergi membeli minyak sejauh lebih dua kilometer. Setelah  sampai, dia jugalah yang tolong mengisi minyak tersebut ke dalam kereta. Subhanallah, kegigihan lelaki tersebut menolong kami sungguh menakjubkan. Kami bukanlah sesiapa padanya, tetapi dia berhempas-pulas menolong kami. Sudahnya, dia juga langsung tidak mahu menerima sagu hati daripada kami. Katanya, dia ikhlas menolong kami.
#Bagusnya andai dunia kita dipenuhi dengan lelaki-lelaki yang bermurah hati seperti ini. Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah S.W.T. Semoga Allah membalas budi baiknya.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*   

Thursday, 22 March 2012

14- Lihat? Berhenti?


Hari ini saya melalui satu pengalaman baru. Entah bagaimana, kereta yang dinaiki bersama tiga orang rakan yang lain pancit di tengah-tengah jalan raya. Pada masa itu cuaca panas terik. Saya berasa sangat risau kerana inilah pengalaman pertama saya terpaksa menghadapi situasi sebegini. Tambah-tambah dengan rakan-rakan dan di negeri Johor pula. Sedang rakan-rakan lelaki asyik berusaha menggantikan tayar, kenderaan yang lalu lalang semuanya memperlihatkan reaksi yang sama--membunyikan hon kepada kami. Sehinggalah pada satu ketika, terdapat sebuah kereta Proton Sateria yang berhenti dan pemandunya menawarkan bantuan buat kami. Kami menolak kerana kerja-kerja menukar tayar sudah hampir siap. Walau bagaimanapun, kami semua berasa sangat senang hati dengan niat pemuda yang ingin membantu kami itu. Sekurang-kurangnya kami dapat lihat dan sedar bahawa masih ada orang yang ingin membantu kami sewaktu kecemasan seperti tadi. Cuma dia hanya terlambat sedikit.
#Semoga perjalanan lelaki ini sentiasa selamat sebagai balasan atas niat murninya ingin membantu kami.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Wednesday, 21 March 2012

13- Senyum? Marah?


Hari ini saya ada kelas pada jam dua petang. Kebiasaannya seperti minggu-minggu yang lepas, saya dan beberapa orang rakan sekelas akan naik ke kelas lebih awal, iaitu kira-kira sejam sebelum kelas. Hal ini kerana kami akan berehat sebentar sebelum menunaikan solat zuhur di kelas itu juga. Keadaan menjadi sebaliknya pula pada hari ini. Tanpa diduga, saya dan dua orang rakan sekelas dilarang daripada masuk ke kelas. Bukan dilarang dan dihalang oleh pengawal, sebaliknya oleh tukang cuci kelas tersebut. Larangannya juga berbaur kemarahan terhadap kami bertiga. Apa yang menghairankan kami adalah mengapa pekerja tersebut bertindak sedemikian, sedangkan kami langsung tidak berniat untuk mengganggu kerja-kerjanya di dalam kelas. Pada minggu-minggu sebelumnya, memang ada seorang tukang cuci lain yang datang membersihkan kelas kami. Tetapi, tidak pernah pula dia marah, melarang atau menghalang kami daripada memasuki kelas tersebut lebih awal. Berlainan benar sikapnya dengan mak cik yang tadi. Kami dilarang memasuki kelas tanpa sebab yang munasabah. Seperti yang telah dinyatakan, kami langsung tidak berniat untuk mengganggunya membuat kerja-kerja pembersihan kelas. Bahkan kami juga telah memberitahunya bahawa kami akan duduk di dalam sebuah bilik kecil yang lain di dalam kelas itu untuk solat. Dia langsung tidak emnghiraukan alasan kami sehingga kami terpaksa menunggunya habis berkemas. Malangnya, apabila masuk ke dalam kelas tersebut, masih ada lagi sampah-sampah kecil yang tidak dibuangnya. Tindakan Wanita berpangkat mak cik itu ternyata mengecewakan kami.
# Senyuman akan membuatkan seseorang itu kelihatan lebih menawan walaupun telah berusia.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Tuesday, 20 March 2012

12- Beratur? Berebut?


Siang tadi, entah kali yang ke berapa saya naik bas berulang-alik dari rumah ke kelas dan dari kelas ke rumah. Saya tidak menolak hakikat bahawa rakan-rakan saya yang lain juga begitu. Kehidupan selama beberapa tahun di bumi Tanjong Malim ini telah memberi pelbagai pengalaman kepada kami sebagai seorang pelajar. Namun, saya masih pelik dengan tabiat atau sikap pelajar yang terlalu rakus sewaktu berebut-rebut menaiki bas. Seolah-olah bas yang mampu memuatkan lebih lima puluh orang penumpang itu hanya mampu diisi oleh tiga orang pelajar. Paling menyedihkan, ada juga segelintir pelajar yang sanggup bergaduh gara-gara ingin menaiki bas. Kejadian pada petang tadi lebih hebat. rakan sekelas saya hampir tersungkur sewaktu melangkah menaiki tangga kerana ditolak oleh pelajar-pelajar di belakangnya. Bagi rakan-rakan yang lain pula, rata-rata menaiki bas dalam keadaan marah-marah. Masakan tidak, beg yang digalas bersama terlekat di celah-celah badan orang lain, tersangkut di pintu dan sebagainya. Masing-masing bersikap "bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing"-semuanya tidak mengendahkan kesulitan orang lain.
#Pergi ke kelas beratur, pulang ke rumah berebut-pelik kan?Jika semua orang beratur, keadilan pasti terpelihara.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN AMSYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Monday, 19 March 2012

11- Pungut? Buang?


Perjalanan saya ke kelas pada hari ini menuntut saya untuk melewati sebuah perhentian baS di kampus baru UPSI. Alangkah terkejutnya, baru masuk minggu kelima, persekitaran perhentian bas tersebut telah pun kotor dengan sampah-sarap.Saya berasa hairan kerana kampus baru ini  baru sahaja lima minggu digunakan. Tambahan pula, yang menggunakannya ialah insan bergelar MAHASISWA, dan bakal pendidik pula. Beginikah sikap yang akan diajar kepada anak-anak murid mereka kelak, iaitu membuang sampah bukan di tempat yang sepatutnya? Semoga mata dan hati mereka yang bersikap demikian terus dibulat dan disedarkan.
#Jangan kencing berdiri, kelak anak akan kencing berlari.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Sunday, 18 March 2012

10- Mak Long? Mak Su?


Hujung minggu saya terisi dengan aktiviti berbual mesra bersama beberapa orang teman. Entah bagaimana, hal-hal berkaitan keluarga pula yang menjadi bahan bualan kami. Antara perkara yang menarik minat saya adalah tentang sistem pangkat di dalam keluarga. Seperti saya sendiri, sudah pun bergelar mak su. Ada juga yang bergelar mak cik dan sebagainya. Bagi yang belum mempunyai anak buah, tetap juga berselera berbual—ada yang bakal bergelar mak long, mak ngah dan sebagainya. Maka timbullah rasa bangga dalam diri saya terhadap kekayaan bahasa bangsa saya ini. Untuk membezakan setiap ahli di dalam satu-satu keluarga, terdapat pula panggilan-panggilan tertentu yang rata-ratanya sama di mana-mana negeri-Cuma penyusunannya sahaja agak berbeza.  Antaranya termasuklah along, angah, alang, anjang, andak, utih, uda, acik, usu. Untuk tingkat yang seterusnya, dipanggil dengan pangkal kak, abang, mak, pak dan tok (kak cik, bang cik, mak cik, pak cik, tok cik). Jika ada lagi ramai ahli keluarga, maka lagi banyaklah panggilan yang ada. Pastinya keadaan tersebut mengundang kemeriahan saat bertemu, iaitu kala semuanya telah berkahwin atau berkeluarga. Keadaan ini samalah juga seperti saya yang mempunyai lapan orang adik-beradik-sehinggakan anak-anak buah ada kalanya tersasul memanggil kami dengan panggilan yang betul. Semoga  panggilan mengikut pangkat ahli keluarga ini terus menjadi amalan kita dan generasi selepas kita, kerana warisan ini sememangnya khazanah yang amat berharga.
#Anda bagaimana? Apakah posisi anda? Apakah gelaran atau panggilan buat anda?
                                              
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Thursday, 15 March 2012

9- Baku? Dialek?

Suasana di dalam kelas pada petang tadi agak ceria. Ya, mungkin kerana mood pensyarah yang kelihatan ceria daripada biasa. Kelapangan masa yang ada sempat saya isikan dengan berbual-bual mesra bersama-sama seorang rakan di sebelah. Sedang asyik bersembang-sembang, terkeluar pula dialek utara. Sebenarnya memang  kami berdua berasal dari utara, cuma berlainan negeri. Namun, dalam kebanyakan hal, kami sering menggunakan bahasa baku atau tidak menggunakan dialek utara apabila berbual. Sekali-sekala dapat berbual dan berjenaka dengannya menggunakan dialek sendiri(seperti tadi) memang terasa sungguh seronok. kami berdua turut mengenang kembali antara bait-bait ayat yang digunakan jika bermain, bergaduh dan sebagainya. Ah, tidak banyak beza rupa-rupanya walaupun negeri kami berbeza.Teringat pula kepada teman-teman dan semua kenalan di kampung. Demikianlah keadaannya-"hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri."
Alhamdulillah, semoga saya tidak melupakan bahasa/dialek saya. Semoga orang lain juga begitu. =)
# Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak.
                                                   
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Wednesday, 14 March 2012

8- Soalan? Jawapan?

Jimmy     : "Ibu, saya tak boleh bermain dengan kawan-kawan di luar?"
Ibu         : "Ya." (mengangguk)
Jimmy     : "Ya? boleh?"
Ibu         : "Eh, tidak."
Jimmy     : "Tidak boleh keluar?"
Ibu         : "Tidak."(menggeleng)
Jimmy     : "Tidak kepada tidak boleh keluar. Maksudnya boleh?"
Ibu         : "Tidak"(menggeleng)
Jimmy     : "Tidak boleh keluar?"
Ibu         : "Ya."(mengangguk)
Jimmy     : "Yeay, ibu kata ya. Boleh keluar."(terus berlari keluar)

Hehehe..situasi ini berlaku di dalam cerita kartun(Jimmy Neutron). Jimmy cuba mendapatkan kepastian daripada ibunya sama ada membenarkan dia keluar bermain atau tidak. Bagaimanapun, soalan pertama yang diajukan itu telah memerangkap ibunya untuk memberikan jawapan bahawa dia sebenarnya tidak boleh keluar bermain bersama rakan-rakan di luar.
Saya sendiri ada kalanya turut mengalami situasi yang sama. Perkara sebegini mungkin dapat diatasi sekiranya kita dan orang di sekeliling kita memberikan jawapan yang jelas bagi setiap pertanyaan yang diajukan.
                                                
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Tuesday, 13 March 2012

7- Laju? Perlahan?

Hari ini  saya sekali lagi berhadapan dengan sikap pemandu bas yang pada hemat saya tidak beradab di jalan raya. Situasinya adalah apabila saya dan seorang teman berjalan dari Pusat Kesihatan UPSI menuju ke Pintu Timur. Ketika hendak menyeberang sebatang jalan, muncul bas UPSI dengan lajunya dan terus membelok ke arah kami yang pada masa itu sangat letih untuk berjalan(tidak sihat). Keadaan mengejutkan itu membuatkan kami berdua terpaksa berlari pantas untuk mengelak. Demikianlah ceteknya kesantunan bahasa pemandu bas tersebut. Bukankah dia boleh memberi signal atau isyarat untuk membelok terlebih dahulu supaya kami dapat bertindak awal? Tidak bolehkah jika dia membunyikan hon dari jauh? Bukankah untuk berkomunikais itu terdapat pelbagai cara yang mudah mengikut kesesuaian? Atau, dia memang sengaja ingin mengenakan kami? Semoga pemandu bas tersebut diberi pengajaran atas sikapnya yang tidak salah dianggap melampau itu.
#Di dalam kawasan kampus terdapat ramai pelajar. Jangan hanya kerana anda memandu kenderaan besar, anak sengaja menganiaya pejalan-pejalan kaki seperti kami. 
                                       
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT- PENERANG BAGI YANG GELAP*

Monday, 12 March 2012

6- Soalan? Jawapan?


Kampus Baru, Proton City. Sedang saya melangkahkan kaki untuk menaiki bas, saya sempat mendengar pertanyaan seorang pelajar perempuan berbangsa cina kepada pemandu bas:-
Pelajar             : “Bas ini ke mana?”
Pemandu         : “Kau nak ke mana?” (dengan wajah yang agak sombong)
# Pada hemat saya, wajarlah sekiranya pemandu bas tersebut bersikap lebih sopan dalam melayan penumpangnya. Lebih bagus jika soalan yang diajukan itu terus dibalas dengan jawapan yang konkrit. Tidak perlu merumitkan perkara yang mudah.
(Situasi di atas hanya merupakan salah satu daripada kebanyakan situasi yang sering dialami oleh para pelajar: rata-ratanya memperlihatkan keangkuhan pemandu bas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, iaitu membawa pelajar dari satu destinasi ke satu destinasi)
                                                                    
                        
 *BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*