Wednesday 4 April 2012

23- Melayu? Cina?



Alhamdulillah, hari ini saya sempat menghadiri satu forum bahasa Melayu, iaitu ‘Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris dalam Konteks Pendidikan Sekolah”. Apa yang menarik minat adalah pada bahagian penghujung forum, iaitu saat seorang ahli panel berbangsa cina(Prof. Dr. Teo Kok Seong) berucap. Menurut beliau, bahasa Melayu memberi tiga nilai utama kepada bangsa Melayu. Pertamanya ialah bahasa Melayu menjadi asas ilmu pengetahuan. Kedua, adalah sebagai khazanah budaya Melayu. Terakhir, bahasa Melayu itu dikatakan mempunyai nilai kognisi, iaitu menunjukkan atau mengajarkan cara orang Melayu memproses ilmu. Berhubung dengan nilai yang ketiga ini, Prof. Teo memberi penerangan ringkas yang begitu menarik perhatian saya. Maksud beliau, bahasa Melayu cukup membantu kita dalam usaha memproses sesuatu ilmu. Kita tidak perlu terlalu membangga-banggakan bahasa Inggeris walaupun fungsinya juga adalah sebagai alat untuk mendapatkan ilmu. Beliau memberi contoh, ada segelintir masyarakat Melayu yang terlalu mengikut acuan orang Inggeris sehinggakan apabila sendawa pun dia menyebut “Maafkan saya.” Hal ini demikian menurut Prof. Teo bercanggah dengan adab dan budaya Melayu kerana ucapan tersebut merupakan terjemahan langsung daripada bahasa Inggeris “I’m sorry. Bagi masyarakat barat, sendawa adalah sesuatu yang menjijikkan atau tidak sopan. Berbeza pula bagi orang Melayu(agama Islam), sendawa sebenarnya merupakan anugerah Allah, dan apabila seseorang itu sendawa, adalah lebih afdhal menyebut “Alhamdulillah(segala puji bagi Allah)”. Demikianlah betapa kagumnya saya mendengar ucapan Prof. Teo dalam forum siang tadi. Melihatkan orang bukan Melayu dapat memberi buah fikiran dan nasihat yang bernas buat orang Melayu, membuatkan diri ini berasa sangat insaf. Sesungguhnya beliau memang merupakan saudara orang Melayu kerana pemikiran, tutur kata dan budi bahasanya melambangkan identiti orang Timur sejati. Semoga keperibadian beliau dicontohi lebih-lebih lagi oleh anak Melayu sendiri. Semoga “Takkan Melayu hilang di dunia”.

No comments:

Post a Comment