Monday, 2 April 2012

21- Peribahasa...


PEPATAH
Pepatah adalah salah satu unsur dalam peribahasa Melayu. Pepatah ialah kiasan yang mengandungi erti yang sebenarnya, digunakan untuk mematah atau memutuskan pembicaraan orang lain. Pepatah lebih memberatkan tentang sifat ringkasnya, bijak perkataannya dan benar pengajarannya (Za’ba, 2002:170). Contoh pepatah= Biar lambat asalkan selamat, Alah bisa tegal biasa, bahasa menunjukkan bangsa dan sebagainya.

BIDALAN
Bidalan lebih memberatkan tentang sifat melekatnya di mulut orang ramai dan tentang bandingan dan teladan yang ada di dalamnya (Za’ba, 2002:170). Bidalan juga merupakan satu lagi bentuk dalam peribahasa Melayu yang digolongkan dalam sastera Melayu lama. Contoh bidalan seperti: Bawa resmi padi;semakin tunduk semakin berisi atau Ikut suka luka, ikut hati mati, ikut rasa binasa dan lain-lain.

TAMSILAN
Tamsilan berasal daripada bahasa Arab tamsil. Tamsilan bertujuan mengumpamakan seseorang atau sesuatu mengenai pekerti, tabiat dan keadaan. Biasanya, tamsilan dimulai dengan kata-kata: seperti, bagai, laksana. Menurut Za’ba (2002:170), tamsilan ialah peribahasa yang menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan atau dikiaskan kepada sesuatu perkara lain dan oleh sebab itu jadi ertinya dua lapis. Contoh tamsilan: Seperti bulan dipagar bintang, Seperti sirih pulang ke gagang, Seperti embun di hujung rumput dan lain-lain.

SIMPULAN BAHASA
Simpulan bahasa merupakan rangkaian perkataan atau ungkapan yang telah tersimpul dengan susunan yang khas dan digunakan dengan makna khusus, berlainan daripada makna asalnya (Safian Hussain, et al. 1988: 308). Bentuk majaz ini paling banyak digunakan oleh orang Melayukerana sifatnya yang ringkas dan dapat menyampaikan maksud dengan tepat, tajam dan berseni. Simpulan bahasa bukan sahaja terdapat dalam bahasa baku, tetapi juga dalam bahasa daerah atau dialek. Contoh simpulan bahasa dalam bahasa Melayu baku seperti: menongkat langit, berganti tikar, bongkok sabut atau dalam bahasa daerah seperti menangis tak berlagu, masuk jawi, puasa yukyup dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment