Pada minggu ini,
satu Kempen Perkampungan Hijau rancak dilaksanakan oleh sebilangan pelajar
Universiti Pendidikan Sultan Idris. Usaha mereka sangat bernas demi memelihara
alam sekitar kita. Kehijauan tumbuh-tumbuhan sebenarnya anugerah yang tidak
ternilai buat kita semua, penghuni alam buana yang bertuah. Setiap kali saya pulang ke kampung, saya begitu terpesona
dengan keindahan suasana di sepanjang perjalanan yang lebuh raya sangat
menyejukkan mata saya. Pada masa itu, mulalah terlintas di fikiran saya
bagaimanakah jika semua keindahan dan kehijauan yang kita miliki ini tiba-tiba
lenyap? Pasti tidak akan ada lagi semangat untuk kita semua bangkit meneruskan
kehidupan. Masakan tidak, tumbuh-tumbuhan hijau itulah sebenarnya pembekal
oksigen yang sangat berguna buat kita semua. Tumbuh-tumbuhan hijau itu jugalah
yang menjadi habitat dan penyambung nyawa bagi makhluk-makhluk yang lain
termasuklah haiwan. Ya, kita biasanya mewajarkan kemusnahan tumbuh-tumbuhan
demi pembangunan negara. Tangan-tangan kita inilah yang secara tidak langsung
membangunkan dan cuba memusnahkan negara dalam masa yang sama. Jika kita bijak
menyeimbangkan antara usaha untuk memajukan negara dengan mengekalkan
kelestarian alam, pasti kita akan meraih dan menikmati hasil daripada tindakan
positif yang kita lakukan. Sesungguhnya, Allah mengurniakan kita akal dan
tenaga untuk kita bijak mengadunkan fungsinya demi kebaikan yang berpanjangan.
No comments:
Post a Comment