Friday 30 March 2012

20- Muzik? Lagu?


Hari ini saya berulang kali mendengar lagu Anak Kampung oleh Jimmy Palikat iaitu penyanyi dari Sabah.  Lagu tersebut sangat sedap didengar walaupun liriknya dalam dialek Sabah. Jadi, siapa kata lagu tempatan negeri kita tidak boleh dipopularkan? Paling penting ialah keyakinan dan kesungguhan kita untuk mengangkat darjat semua khazanah yang kita miliki. Sesungguhnya, usaha yang sedikit jika dilakukan berterusan pasti akan meraih keuntungan yang melimpah.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*



Thursday 29 March 2012

19- Nama? Gelaran?


Hari ini saya secara tidak sengaja telah terdengar seseorang memanggil anaknya dengan panggilan ‘boy’. Ya, memang anaknya lelaki. Pada saya, mungkin itulah nama timangan atau nama manja bagi anaknya itu. Lantas saya teringat kepada diri sendiri yang sering dipanggil “pakya” oleh abang-abang pada masa kecil dahulu. Saya sendiri juga tidak tahu apakah makna nama tersebut. Tetapi saya langsung tidak kisah dipanggil demikian, malah tetap menyahut sekiranya dipanggil dengan nama itu. Tapi, kini tidak lagi. Tersenyum sendiri apabila teringatkan nama tersebut. Demikian juga, di dalam kampung saya terdapat ramai orang yang dikenali menerusi gelaran nama yang tersendiri. Gelaran ini biasanya digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang mempunyai nama yang sama dengan nama beberapa orang lain di suatu tempat atau kawasan yang sama. Pendek kata, melalui gelaran inilah maka seseorang itu dapat dibezakan antara satu dengan yang lain sekiranya mempunyai nama yang sama. Sebagai contoh, ada gelaran ‘Lah Wangi’, ‘Lid Kura’, ‘Lid Kurus’, ‘Lid Boroi’, ‘Man Sengau’, ‘Man Gajah’, ‘Man Bom’, ‘Mi Kalut’, ‘Mat Lanai’,  ‘Ad Biskut’, ‘Cina Pendek’ dan sebagainya. Itulah antara nama-nama gelaran bagi orang-orang di kampung saya. Nama-nama ini pula ada kaitan dengan siri orang itu sendiri baik dari segi sifat semulajadi, pekerjaan dan rupa fizikalnya. Kadang-kala kedengaran lucu juga apabila mendengar nama-nama itu disebut. Persoalannya, bagaimanakah penerimaan orang-orang itu sendiri, iaitu orang-orang yang digelar atau dipanggil dengan sedemian gelaran. Sukakah atau marahkah mereka? Sekalipun marah, mereka pasti tidak mampu untuk menahan orang lain daripada tetap memanggil dengan nama-nama tertentu. Apa yang penting, perlulah diingat bahawa sekalipun kita ingin memanggil orang lain dengan gelaran-gelaran tertentu, janganlah sehingga mencalarkan maruahnya atau merendahkan dirinya. Hal ini demikian kerana kita sendiri juga tidak senang sekiranya orang lain memperlakukan kita sebegitu.
#Tepuk dada, tanya selera.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Wednesday 28 March 2012

18- Lembu? Sapi?


Hari ini sedang asyik membelek-belek barang di kedai runcit, entah bagainama mata saya menangkap satu barang, iaitu minyak sapi. Lantas dalam kepala terbayangkan hal yang minyak sapi itu sebenarnya bukanlah daripada susu sapi itu sendiri. Sebaliknya adalah daripada susu lembu. Aneh kan, lembu punya susu, tetapi sapi yang senang-senang mendapat nama. Namun, sebenarnya tidaklah aneh sangat, kerana dalam dunia realiti pun, keadaan ini turut belaku. Lebih dasyat, berlaku dalam kalangan manusia. Situasi paling kita tidak gemari tentulah apabila segala usaha kita dimonopoli oleh orang lain. Hal ini demikian berlaku apabila orang lain menggunakan namanya atas segala pekerjaan yang telah kita usahakan. Paling tidak enak apabila orang tersebut sedikitpun tidak mencurahkan apa-apa usaha walaupun sekelumit. Orang lain yang berpenat-lelah menyiapkan segala kerja, dia pula yang sedap-sedap meratah segala habuan. Semoga kita tidak tergolong ke dalam golongan orang yang mempunyai sifat-sifat tersebut.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*


Tuesday 27 March 2012

17- Panggil? Jawab?



Pasti ramai yang masih ingat pada lagu ini:-
Telefon berbunyi ring..ring..ring..kuangkat kudengar suara
Telefon berbunyi ring..ring..ring..kujawab kutanya siapa
Hehehe. Kisah saya pada hari ini ada kaitan rapat dengan panggilan telefon. Sebenarnya sudah acap kali juga saya menerima panggilan daripada orang yang tidak saya kenali sepanjang lebih tujuh tahun menggunakan telefon bimbit. Hari ini, kejadian yang sama berulang lagi. Kebiasaannya apabila kita ingin mendail nombor seseorang, kita haruslah mengenali dirinya, iaitu khususnya dari segi nama orang yang ingin dihubungi itu. Tidaklah terjadi keadaan sebegini:-
(Pemanggil: A)
(Orang yang dihubungi: B)
            B: Hello?
            A: Hello, assalamualaikum.
            B: Waalaikumussalam. Siapa ini?
            A: Awak siapa?
            B: Awak mahu cari siapa?
            A: Yang menjawab panggilan ini siapa?
            B: Awak yang menelefon, jadi awak mesti tahu ini nombor siapa.
            A: Ya, jadi awak siapa?
            B: Awak siapa sebenarnya?
            ……………………….(talian dimatikan)
Mungkin panggilan sebegini sering dilakukan oleh segelintir orang yang berniat nakal, iaitu untuk mengusik teman-teman atau sebagai salah satu taktik untuk memikat seseorang(berkenalan). Mungkin juga disebabkan pemanggil ini malu untuk mengenalkan dirinya terlebih dahulu. Namun, jika benar bertujuan baik, tidak ada sebab untuk berasa malu. Tambah-tambah jika mempunyai hal penting untuk disampaikan. Bagi pihak yang dihubungi, keadaan begini pasti menyakitkan hatinya. Walaupun tidak susah untuk dia memberitahu siapa dirinya, tapi sebagai orang yang dihubungi, dia pasti mengandaikan pemanggil telah sedia tahu siapa dirinya.
# Demikianlah, apabila kita yang ingin menghubungi orang lain, maka wajarlah kita yang memperkenalkan siapa diri kita, bukan kita yang bertanya siapa diri orang yang kita hubungi itu. Sesungguhnya adab itu ada di mana-mana.
                                            
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*




Monday 26 March 2012

16- Dialek

Dialek ialah satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial. Ia berbeza daripada bahasa standard. Perbezaannya adalah dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa, iaitu berbeza daripada bahasa baku. Digunakan secara tidak rasmi dalam perhubungan kekeluargaan dan perhubungan harian. Sebagai anak jati Pulau Pinang, saya juga mempunyai dialek tersendiri, iaitu dialek utara. sememangnya dialek diguanakn dalam perbualan sehari-hari bagi maksud tidak formal. Antara contoh dialek saya ialah:-
"Hang nak pi mana?" 
= "Awak mahu pergi ke mana?"
"Tak payah duk kalut pasai aku."
= "Jangan sibuk pasal say.?"
Selain berbeza sebutan, terdapat juga perbezaan kata yang jelas antara dialek Utara dengan Dialek Johor-Riau. Ciri utama dialek ini adalah sebutan ‘a’ dihujung kata yang dibunyikan secara baku.

Ejaan Standard              Dialek Utara

Saya                             Saya (mengikut sebutan baku)

Dia                              Dia (mengikut sebutan baku)

Mana                           Mana (mengikut sebutan baku)


#Huruf ‘r’ di akhir kata diganti dengan bunyi ‘q’. Lihat contoh:

Ejaan Standard              Dialek Utara

Bergetar                        Bergetaq

Ular                                Ulaq

Telur                             Teloq

#Bunyi ‘i’ di tengah digantikan dengan bunyi ‘ia’

Ejaan Standard           Dialek Utara

Pasir                          Pasiaq

Baligh                       Baliaq

#Kata-kata yang berbeza dengan Bahasa Melayu Standard.

BM Standard           Dialek Utara

Awak / Kamu            Hang

Mereka (bunyi ě)      Depa (sebutan baku)

Sekejap                   Sat

Kenapa (bunyi ě)     Awat


Pergi                       Pie

Kelapa (bunyi ě)     Nyo 

Friday 23 March 2012

15- Peduli? Biar?


Hari ini saya membawa dua orang rakan pulang ke kampung untuk menyelesaikan satu tugasan. Selepas menyelesaikan tugasan tersebut, kami terus pergi membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang ke UPSI. Waktu menunjukkan hampir ke pukul dua petang sewaktu kami ingin bertolak pulang ke rumah. Malangnya kereta yang kami naiki tidak dapat dihidupkan. Setelah lima belas minit mencuba, akhirnya kami membuat keputusan untuk meminta bantuan orang terdekat. Alhamdulillah, ada juga seorang hamba Allah yang bermurah hati untuk menolong kami. Pelbagai cara cuba dilakukannya di tengah-tengah cuaca yang panas terik. Beliau bermandi peluh melihatkan kepada bajunya yang basah lencun. Setelah lebih sejam, akhirnya beliau dapat membaiki kerosakan yang terdapat pada kereta yang kami naiki. Malangnya, masalah lain pula yang timbul, iaitu kereta kami kehabisan minyak. Sekali lagi hamba Allah ini menolong kami dengan pergi membeli minyak sejauh lebih dua kilometer. Setelah  sampai, dia jugalah yang tolong mengisi minyak tersebut ke dalam kereta. Subhanallah, kegigihan lelaki tersebut menolong kami sungguh menakjubkan. Kami bukanlah sesiapa padanya, tetapi dia berhempas-pulas menolong kami. Sudahnya, dia juga langsung tidak mahu menerima sagu hati daripada kami. Katanya, dia ikhlas menolong kami.
#Bagusnya andai dunia kita dipenuhi dengan lelaki-lelaki yang bermurah hati seperti ini. Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah S.W.T. Semoga Allah membalas budi baiknya.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*   

Thursday 22 March 2012

14- Lihat? Berhenti?


Hari ini saya melalui satu pengalaman baru. Entah bagaimana, kereta yang dinaiki bersama tiga orang rakan yang lain pancit di tengah-tengah jalan raya. Pada masa itu cuaca panas terik. Saya berasa sangat risau kerana inilah pengalaman pertama saya terpaksa menghadapi situasi sebegini. Tambah-tambah dengan rakan-rakan dan di negeri Johor pula. Sedang rakan-rakan lelaki asyik berusaha menggantikan tayar, kenderaan yang lalu lalang semuanya memperlihatkan reaksi yang sama--membunyikan hon kepada kami. Sehinggalah pada satu ketika, terdapat sebuah kereta Proton Sateria yang berhenti dan pemandunya menawarkan bantuan buat kami. Kami menolak kerana kerja-kerja menukar tayar sudah hampir siap. Walau bagaimanapun, kami semua berasa sangat senang hati dengan niat pemuda yang ingin membantu kami itu. Sekurang-kurangnya kami dapat lihat dan sedar bahawa masih ada orang yang ingin membantu kami sewaktu kecemasan seperti tadi. Cuma dia hanya terlambat sedikit.
#Semoga perjalanan lelaki ini sentiasa selamat sebagai balasan atas niat murninya ingin membantu kami.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Wednesday 21 March 2012

13- Senyum? Marah?


Hari ini saya ada kelas pada jam dua petang. Kebiasaannya seperti minggu-minggu yang lepas, saya dan beberapa orang rakan sekelas akan naik ke kelas lebih awal, iaitu kira-kira sejam sebelum kelas. Hal ini kerana kami akan berehat sebentar sebelum menunaikan solat zuhur di kelas itu juga. Keadaan menjadi sebaliknya pula pada hari ini. Tanpa diduga, saya dan dua orang rakan sekelas dilarang daripada masuk ke kelas. Bukan dilarang dan dihalang oleh pengawal, sebaliknya oleh tukang cuci kelas tersebut. Larangannya juga berbaur kemarahan terhadap kami bertiga. Apa yang menghairankan kami adalah mengapa pekerja tersebut bertindak sedemikian, sedangkan kami langsung tidak berniat untuk mengganggu kerja-kerjanya di dalam kelas. Pada minggu-minggu sebelumnya, memang ada seorang tukang cuci lain yang datang membersihkan kelas kami. Tetapi, tidak pernah pula dia marah, melarang atau menghalang kami daripada memasuki kelas tersebut lebih awal. Berlainan benar sikapnya dengan mak cik yang tadi. Kami dilarang memasuki kelas tanpa sebab yang munasabah. Seperti yang telah dinyatakan, kami langsung tidak berniat untuk mengganggunya membuat kerja-kerja pembersihan kelas. Bahkan kami juga telah memberitahunya bahawa kami akan duduk di dalam sebuah bilik kecil yang lain di dalam kelas itu untuk solat. Dia langsung tidak emnghiraukan alasan kami sehingga kami terpaksa menunggunya habis berkemas. Malangnya, apabila masuk ke dalam kelas tersebut, masih ada lagi sampah-sampah kecil yang tidak dibuangnya. Tindakan Wanita berpangkat mak cik itu ternyata mengecewakan kami.
# Senyuman akan membuatkan seseorang itu kelihatan lebih menawan walaupun telah berusia.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Tuesday 20 March 2012

12- Beratur? Berebut?


Siang tadi, entah kali yang ke berapa saya naik bas berulang-alik dari rumah ke kelas dan dari kelas ke rumah. Saya tidak menolak hakikat bahawa rakan-rakan saya yang lain juga begitu. Kehidupan selama beberapa tahun di bumi Tanjong Malim ini telah memberi pelbagai pengalaman kepada kami sebagai seorang pelajar. Namun, saya masih pelik dengan tabiat atau sikap pelajar yang terlalu rakus sewaktu berebut-rebut menaiki bas. Seolah-olah bas yang mampu memuatkan lebih lima puluh orang penumpang itu hanya mampu diisi oleh tiga orang pelajar. Paling menyedihkan, ada juga segelintir pelajar yang sanggup bergaduh gara-gara ingin menaiki bas. Kejadian pada petang tadi lebih hebat. rakan sekelas saya hampir tersungkur sewaktu melangkah menaiki tangga kerana ditolak oleh pelajar-pelajar di belakangnya. Bagi rakan-rakan yang lain pula, rata-rata menaiki bas dalam keadaan marah-marah. Masakan tidak, beg yang digalas bersama terlekat di celah-celah badan orang lain, tersangkut di pintu dan sebagainya. Masing-masing bersikap "bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing"-semuanya tidak mengendahkan kesulitan orang lain.
#Pergi ke kelas beratur, pulang ke rumah berebut-pelik kan?Jika semua orang beratur, keadilan pasti terpelihara.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN AMSYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Monday 19 March 2012

11- Pungut? Buang?


Perjalanan saya ke kelas pada hari ini menuntut saya untuk melewati sebuah perhentian baS di kampus baru UPSI. Alangkah terkejutnya, baru masuk minggu kelima, persekitaran perhentian bas tersebut telah pun kotor dengan sampah-sarap.Saya berasa hairan kerana kampus baru ini  baru sahaja lima minggu digunakan. Tambahan pula, yang menggunakannya ialah insan bergelar MAHASISWA, dan bakal pendidik pula. Beginikah sikap yang akan diajar kepada anak-anak murid mereka kelak, iaitu membuang sampah bukan di tempat yang sepatutnya? Semoga mata dan hati mereka yang bersikap demikian terus dibulat dan disedarkan.
#Jangan kencing berdiri, kelak anak akan kencing berlari.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Sunday 18 March 2012

10- Mak Long? Mak Su?


Hujung minggu saya terisi dengan aktiviti berbual mesra bersama beberapa orang teman. Entah bagaimana, hal-hal berkaitan keluarga pula yang menjadi bahan bualan kami. Antara perkara yang menarik minat saya adalah tentang sistem pangkat di dalam keluarga. Seperti saya sendiri, sudah pun bergelar mak su. Ada juga yang bergelar mak cik dan sebagainya. Bagi yang belum mempunyai anak buah, tetap juga berselera berbual—ada yang bakal bergelar mak long, mak ngah dan sebagainya. Maka timbullah rasa bangga dalam diri saya terhadap kekayaan bahasa bangsa saya ini. Untuk membezakan setiap ahli di dalam satu-satu keluarga, terdapat pula panggilan-panggilan tertentu yang rata-ratanya sama di mana-mana negeri-Cuma penyusunannya sahaja agak berbeza.  Antaranya termasuklah along, angah, alang, anjang, andak, utih, uda, acik, usu. Untuk tingkat yang seterusnya, dipanggil dengan pangkal kak, abang, mak, pak dan tok (kak cik, bang cik, mak cik, pak cik, tok cik). Jika ada lagi ramai ahli keluarga, maka lagi banyaklah panggilan yang ada. Pastinya keadaan tersebut mengundang kemeriahan saat bertemu, iaitu kala semuanya telah berkahwin atau berkeluarga. Keadaan ini samalah juga seperti saya yang mempunyai lapan orang adik-beradik-sehinggakan anak-anak buah ada kalanya tersasul memanggil kami dengan panggilan yang betul. Semoga  panggilan mengikut pangkat ahli keluarga ini terus menjadi amalan kita dan generasi selepas kita, kerana warisan ini sememangnya khazanah yang amat berharga.
#Anda bagaimana? Apakah posisi anda? Apakah gelaran atau panggilan buat anda?
                                              
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Thursday 15 March 2012

9- Baku? Dialek?

Suasana di dalam kelas pada petang tadi agak ceria. Ya, mungkin kerana mood pensyarah yang kelihatan ceria daripada biasa. Kelapangan masa yang ada sempat saya isikan dengan berbual-bual mesra bersama-sama seorang rakan di sebelah. Sedang asyik bersembang-sembang, terkeluar pula dialek utara. Sebenarnya memang  kami berdua berasal dari utara, cuma berlainan negeri. Namun, dalam kebanyakan hal, kami sering menggunakan bahasa baku atau tidak menggunakan dialek utara apabila berbual. Sekali-sekala dapat berbual dan berjenaka dengannya menggunakan dialek sendiri(seperti tadi) memang terasa sungguh seronok. kami berdua turut mengenang kembali antara bait-bait ayat yang digunakan jika bermain, bergaduh dan sebagainya. Ah, tidak banyak beza rupa-rupanya walaupun negeri kami berbeza.Teringat pula kepada teman-teman dan semua kenalan di kampung. Demikianlah keadaannya-"hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri."
Alhamdulillah, semoga saya tidak melupakan bahasa/dialek saya. Semoga orang lain juga begitu. =)
# Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak.
                                                   
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Wednesday 14 March 2012

8- Soalan? Jawapan?

Jimmy     : "Ibu, saya tak boleh bermain dengan kawan-kawan di luar?"
Ibu         : "Ya." (mengangguk)
Jimmy     : "Ya? boleh?"
Ibu         : "Eh, tidak."
Jimmy     : "Tidak boleh keluar?"
Ibu         : "Tidak."(menggeleng)
Jimmy     : "Tidak kepada tidak boleh keluar. Maksudnya boleh?"
Ibu         : "Tidak"(menggeleng)
Jimmy     : "Tidak boleh keluar?"
Ibu         : "Ya."(mengangguk)
Jimmy     : "Yeay, ibu kata ya. Boleh keluar."(terus berlari keluar)

Hehehe..situasi ini berlaku di dalam cerita kartun(Jimmy Neutron). Jimmy cuba mendapatkan kepastian daripada ibunya sama ada membenarkan dia keluar bermain atau tidak. Bagaimanapun, soalan pertama yang diajukan itu telah memerangkap ibunya untuk memberikan jawapan bahawa dia sebenarnya tidak boleh keluar bermain bersama rakan-rakan di luar.
Saya sendiri ada kalanya turut mengalami situasi yang sama. Perkara sebegini mungkin dapat diatasi sekiranya kita dan orang di sekeliling kita memberikan jawapan yang jelas bagi setiap pertanyaan yang diajukan.
                                                
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Tuesday 13 March 2012

7- Laju? Perlahan?

Hari ini  saya sekali lagi berhadapan dengan sikap pemandu bas yang pada hemat saya tidak beradab di jalan raya. Situasinya adalah apabila saya dan seorang teman berjalan dari Pusat Kesihatan UPSI menuju ke Pintu Timur. Ketika hendak menyeberang sebatang jalan, muncul bas UPSI dengan lajunya dan terus membelok ke arah kami yang pada masa itu sangat letih untuk berjalan(tidak sihat). Keadaan mengejutkan itu membuatkan kami berdua terpaksa berlari pantas untuk mengelak. Demikianlah ceteknya kesantunan bahasa pemandu bas tersebut. Bukankah dia boleh memberi signal atau isyarat untuk membelok terlebih dahulu supaya kami dapat bertindak awal? Tidak bolehkah jika dia membunyikan hon dari jauh? Bukankah untuk berkomunikais itu terdapat pelbagai cara yang mudah mengikut kesesuaian? Atau, dia memang sengaja ingin mengenakan kami? Semoga pemandu bas tersebut diberi pengajaran atas sikapnya yang tidak salah dianggap melampau itu.
#Di dalam kawasan kampus terdapat ramai pelajar. Jangan hanya kerana anda memandu kenderaan besar, anak sengaja menganiaya pejalan-pejalan kaki seperti kami. 
                                       
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT- PENERANG BAGI YANG GELAP*

Monday 12 March 2012

6- Soalan? Jawapan?


Kampus Baru, Proton City. Sedang saya melangkahkan kaki untuk menaiki bas, saya sempat mendengar pertanyaan seorang pelajar perempuan berbangsa cina kepada pemandu bas:-
Pelajar             : “Bas ini ke mana?”
Pemandu         : “Kau nak ke mana?” (dengan wajah yang agak sombong)
# Pada hemat saya, wajarlah sekiranya pemandu bas tersebut bersikap lebih sopan dalam melayan penumpangnya. Lebih bagus jika soalan yang diajukan itu terus dibalas dengan jawapan yang konkrit. Tidak perlu merumitkan perkara yang mudah.
(Situasi di atas hanya merupakan salah satu daripada kebanyakan situasi yang sering dialami oleh para pelajar: rata-ratanya memperlihatkan keangkuhan pemandu bas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, iaitu membawa pelajar dari satu destinasi ke satu destinasi)
                                                                    
                        
 *BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Saturday 10 March 2012

5- Malaysia? Myanmar?


Sabtu, 10 Mac ‘12- Seronoknya berhujung minggu. Saya bersama beberapa orang teman (perempuan dan lelaki) memanfaatkan cuti pada hari ini dengan bersiar-siar ke ibu kota. Di Hentian Puduraya- sedang asyik berjalan-jalan, seorang lelaki hampir separuh abad(En. M) menyapa dua orang sahabat lelakiku, Amir dan Azri(bukan nama sebenar). Oh, ingin meminta rokok rupa-rupanya. Setelah dihulur rokok yang diminta, tiba-tiba:-
En. M  : “Kau orang Myanmar?”
Amir    : “Lagi sekali? Saya tak dengar.”
En. M  : “Kau orang Myanmar?”
Amir    : “Dia kata kita orang Myanmar, Azri!”
Azri     : “Tak, orang sini.” (lagak bersahaja)
En. M  : “Oh, pak cik minta maaf. Pak cik ingatkan orang Myanmar tadi, sebab ramai                           orang Myanmar macam kamu. Kalau tak percaya, cuba kamu masuk ke                                     dalam(Hentian Pudu). Diorang memang berpakaian macam kamu(kemeja, jeans dan selipar).”
Wajarkah budi yang ditabur dibalas dengan pertanyaan yang menyakitkan hati? Walaupun tersinggung dengan pertanyaan dan penjelasan lelaki dewasa itu, mereka tetap berbual ringkas dengannya. Ya, yang tua perlu dihormati, yang muda perlu disayangi. Apabila namanya manusia, pasti tidak lari daripada melakukan kesilapan.
#Buat sahabat-sahabat, tahniah kerana berjaya mengawal emosi dan bertindak rasional dalam situasi sebentar tadi. Semoga kalian mampu menjadi pendidik yang berjaya buat diri sendiri dan orang lain juga.
#Buat En. M, adalah lebih manis jika encik tidak membuat andaian sembarangan dan berfikir dahulu sebelum bertanya. Sebagai orang tua, encik yang lebih dahulu makan garam daripada kami.
# 1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara- 1 Malaysia.
                                                    
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Thursday 8 March 2012

4- Bangga? Hina?

Dalam Seminar Wacana Pemikiran Dato' Dr. Hassan Ahmad yang baru-baru ini diadakan di Perpustakaan Tuanku Bainun, saya tertarik dengan contoh yang dimuatkan di dalam pembentangan Dr. Awang Sariyan(Ketua pengarah DBP), iaitu melibatkan seorang tokoh korporat Melayu. Ucap beliau, tokoh korporat Melayu tersebut pernah berkata "Untuk maju di dalam dunia ini, dua perkara utama yang perlu diambil kira ialah tidak memijak Al-Quran dan tidak memakan khinzir. Hal-hal lain khususnya perihal ketamadunan dan kebahasaan tidak perlu difikirkan". Beginikah contoh ahli korporat yang patut kita sanjung? Perlu diingat bahawa tanpa bahasa, maka tidak wujudlah tamadun. Tanpa tamadun yang berkembang, maka bangsa itu sendiri tidak akan membangun. Di atas tapak sejarah inilah sebenarnya kita hidup dan meraih kemajuan. Tanpa tamadun dan bahasa, masakan dirinya dapat menjadi tokoh korporat berjaya. Semoga kemajuan seiring dengan pemikiran.
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada mansuia, dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur lagi membangga diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai."
Al-Quran (Surah Luqman : 18 & 19)

*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*



Wednesday 7 March 2012

3- Hormat? Takut?

Kelas hari ini ada seperti biasa, jam 2.00 petang. Malangnya, setelah hampir 30 minit, pelajar yang sering tidak hadir ke kelas masih belum tiba. Mungkin tidak hadir lagi hari ini. Masing-masing membuat andaian demikian. Sebelum sesi pembentangan pelajar, pensyarah tiba-tiba naik angin. Lalu pelajar tersebut ditelefonnya, dan diberi amaran.
"Kamu mahu ambil kursus ini lagi atau tidak? Jika mahu, sila datang. Jika tidak, saya akan gugurkan nama kamu sekarang juga!" Talian terus dimatikan. 
Hampir pukul 4 petang, pelajar tersebut tiba dengan lagak bersahaja. Sekalian pelajar yang lain juga tidak berkata apa-apa.Bukan ingin berdiam atau tidak menasihati sesama sahabat. Cuma ingin memerihalkan betapa bakal pendidik itu perlulah bijaksana dalam mendisplinkan dirinya sendiri. Hal ini demikian kerana saya yakin dan percaya bahawa baik atau buruk sesuatu perkara itu pasti diketahuinya dengan baik. Anda mahasiswa!
#Apabila kita inginkan ilmu, maka kejarlah sumber ilmu tersebut.Bukan sebaliknya.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Tuesday 6 March 2012

2-Sedap? Kelat?


Tanjong Malim-6 Mac 2012, jam hampir ke pukul 2 petang. Awan makin lincah menurunkan hujan.
Sedang asyik menikmati cendol bersama teman, kami tersentak.
“Hei, mahu tidur balik rumah la!” -pelanggan(Melayu) dengan lagak bersahaja lantang menyergah.
Fuh, memang sentap. Peniaga(India) yang tadinya asyik tersengguk-sengguk menahan rasa mengantuk, terpinga-pinga mendengar sergahan itu.-saya pasti, mengantuknya tadi lenyap tiba-tiba.
Serta-merta, cendol yang pada mulanya terasa sedap, manis, berlemak, langsung menjadi tawar.
Beginikah caranya untuk menegur? Ya, sekalipun sekadar bergurau, tidak adakah cara yang lebih sopan?
Memang, terkadang kita rasa diri kita layak menegur. Tetapi tanpa sedar kitalah yang sepatutnya ditegur.

*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*


Monday 5 March 2012

1- Kurang? Istimewa?


Alhamdulillah…permulaan Isnin yang penuh indah-seawal jam 00:00 pagi 5 Mac ’12.  Kisah bermula apabila saya menaiki kereta api Senandung Mutiara (BM-TM) koc S2-11D. Baru beberapa ketika tren meluncur, kedengaran beberapa suara yang rancak bersembang. Walaupun sering kali jua mendengar orang bersembang di dalam tren, tetapi suara-suara yang ini saya dengar berbeza. Mereka berbahasa Inggeris dengan cukup lancar, seperti saya yang berbahasa Melayu. Menariknya, saat saya pandang tepat ke arah mereka(di sebelah bangku saya) mereka ialah warga emas rupa-rupanya:-3 orang(seorang perempuan, dua orang lelaki).
Seakan-akan tidak percaya, ketiga-tiga mereka merupakan golongan orang kurang upaya(cacat penglihatan). Saat mereka berbual dengan kakitangan KTM, mereka sebenarnya berupaya untuk berbahasa Melayu dengan fasih juga. Perkara yang paling membuat saya terpegun ialah keupayaan mereka untuk berbahasa Melayu dengan baik. Mereka menyapa orang lain dengan panggilan “encik” dan sentiasa menggunakan bahasa yang sangat santun. Apabila mereka mendengar suara kanak-kanak di hadapan mereka(sememangnya kanak-kanak itu sedang memerhatikan mereka), salah seorang daripada mereka membalas, “Yes, hello my dear friend” Jujur, mereka sangat berbudaya. Keadaan ini membuatkan saya terus memerhati mereka. Memang, saya sangat terpesona.
Kelakuan mereka di dalam kereta api terus menarik minat dan perhatian saya. Untuk suatu ketika, saya mendapati mereka ada masalah berhubung dengan masalah pembuangan sampah. Saat meraba-raba mencari plastik untuk membuang sampah(sememangnya tiada plastik di tempat duduk mereka) saya menawarkan diri untuk menolong. Alhamdulillah, mereka begitu menghargai sekelumit ihsan yang saya hulurkan. Ucapan terima kasih dilontarkan dengan penuh bermakna dengan senyuman yang manis terukir di wajah mereka. Saya yakin, mereka dapat melihat saya di dalam hati mereka.
Untuk kali kedua, mereka ada masalah lagi, iaitu untuk membuang bekas minuman pula. Mereka jelas seperti tercari-cari saya(mereka mengagak saya berada di tempat duduk sebelah). Tanpa berlengah, saya menolong sekali lagi. Sekali lagi, ucapan terima kasih yang diucap tanpa sedar  membuatkan saya begitu terharu. Kesempatan ini saya ambil untuk berbual dengan mereka. Menurut pak cik Siman(salah seorang daripada mereka), mereka semua tinggal di Sri Damansara, Kuala Lumpur dan pergi menziarahi rakan di Georgetown. Kata beliau juga, mereka memang telah biasa pergi berjalan-jalan.
Berdasarkan perbualan ringkas yang lain, saya mengandaikan pak cik Siman dan isteri serta sahabatnya bukanlah seperti orang kurang upaya yang selalu saya sifatkan. Mereka ini pasti orang yang cukup berdikari, bebas dan berpengetahuan tinggi. Hal ini kerana beliau dapat membuat andaian dengan tepat apabila saya mengatakan saya hendak ke Tanjong Malim. Tanya  beliau: “Oh, Shifa belajar di maktab perguruan tu ya?” beliau juga ada bertanya tentang jurusan yang saya ambil dan sebagainya yang berkaitan.
Untuk minit-minit yang seterusnya, saya membantu pak cik Siman dan isteri untuk menurunkan kerusi , dan biarkan mereka berehat sementara kereta api terus meluncur. Sampai ke Tanjong Malim,  saya memberitahu mereka yang saya akan turun. Antara ayat mereka:- “Shifa dah sampai ya?” “Terima kasih banyak-banyak ya  Shifa.” “Jaga diri baik-baik ya Shifa.” Ah, lontaran ucapan yang memberatkan kaki saya untuk melangkah. Namun, jauh di dalam hati saya teramat bersyukur ditakdirkan untuk bertemu hamba-hamba Allah yang istimewa ini. Bersama-sama plastik sampah yang masih erat digenggam, inilah kali pertama saya keluar daripada kereta api dengan 1001 makna. Buat pak cik Siman dan sahabat, semoga kalian juga sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Insya-Allah, andai ada rezeki, pasti kita berjumpa lagi.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*