Hari ini saya secara tidak sengaja telah terdengar seseorang memanggil anaknya
dengan panggilan ‘boy’. Ya, memang
anaknya lelaki. Pada saya, mungkin itulah nama timangan atau nama manja bagi
anaknya itu. Lantas saya teringat kepada diri sendiri yang sering dipanggil “pakya” oleh abang-abang pada masa kecil
dahulu. Saya sendiri juga tidak tahu apakah makna nama tersebut. Tetapi saya
langsung tidak kisah dipanggil demikian, malah tetap menyahut sekiranya
dipanggil dengan nama itu. Tapi, kini tidak lagi. Tersenyum sendiri apabila
teringatkan nama tersebut. Demikian juga, di dalam kampung saya terdapat ramai
orang yang dikenali menerusi gelaran nama yang tersendiri. Gelaran ini biasanya
digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang mempunyai nama yang sama dengan
nama beberapa orang lain di suatu tempat atau kawasan yang sama. Pendek kata,
melalui gelaran inilah maka seseorang itu dapat dibezakan antara satu dengan
yang lain sekiranya mempunyai nama yang sama. Sebagai contoh, ada gelaran ‘Lah Wangi’, ‘Lid Kura’, ‘Lid Kurus’, ‘Lid Boroi’, ‘Man Sengau’, ‘Man Gajah’,
‘Man Bom’, ‘Mi Kalut’, ‘Mat Lanai’,
‘Ad
Biskut’, ‘Cina Pendek’ dan
sebagainya. Itulah antara nama-nama gelaran bagi orang-orang di kampung saya. Nama-nama
ini pula ada kaitan dengan siri orang itu sendiri baik dari segi sifat
semulajadi, pekerjaan dan rupa fizikalnya. Kadang-kala kedengaran lucu juga
apabila mendengar nama-nama itu disebut. Persoalannya, bagaimanakah penerimaan
orang-orang itu sendiri, iaitu orang-orang yang digelar atau dipanggil dengan
sedemian gelaran. Sukakah atau marahkah mereka? Sekalipun marah, mereka pasti
tidak mampu untuk menahan orang lain daripada tetap memanggil dengan nama-nama
tertentu. Apa yang penting, perlulah diingat bahawa sekalipun kita ingin memanggil
orang lain dengan gelaran-gelaran tertentu, janganlah sehingga mencalarkan
maruahnya atau merendahkan dirinya. Hal ini demikian kerana kita sendiri juga
tidak senang sekiranya orang lain memperlakukan kita sebegitu.
#Tepuk dada, tanya selera.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*
No comments:
Post a Comment