Hujung minggu saya terisi dengan aktiviti berbual
mesra bersama beberapa orang teman. Entah bagaimana, hal-hal berkaitan keluarga
pula yang menjadi bahan bualan kami. Antara perkara yang menarik minat saya adalah
tentang sistem pangkat di dalam keluarga. Seperti saya sendiri, sudah pun bergelar
mak su. Ada juga yang bergelar mak cik dan sebagainya. Bagi yang belum
mempunyai anak buah, tetap juga berselera berbual—ada yang bakal bergelar mak
long, mak ngah dan sebagainya. Maka timbullah rasa bangga dalam diri saya
terhadap kekayaan bahasa bangsa saya ini. Untuk membezakan setiap ahli di dalam
satu-satu keluarga, terdapat pula panggilan-panggilan tertentu yang
rata-ratanya sama di mana-mana negeri-Cuma penyusunannya sahaja agak berbeza. Antaranya termasuklah along, angah, alang,
anjang, andak, utih, uda, acik, usu. Untuk tingkat yang seterusnya, dipanggil
dengan pangkal kak, abang, mak, pak dan tok (kak cik, bang cik, mak cik, pak
cik, tok cik). Jika ada lagi ramai ahli keluarga, maka lagi banyaklah panggilan
yang ada. Pastinya keadaan tersebut mengundang kemeriahan saat bertemu, iaitu
kala semuanya telah berkahwin atau berkeluarga. Keadaan ini samalah juga seperti
saya yang mempunyai lapan orang adik-beradik-sehinggakan anak-anak buah ada
kalanya tersasul memanggil kami dengan panggilan yang betul. Semoga panggilan mengikut pangkat ahli keluarga ini
terus menjadi amalan kita dan generasi selepas kita, kerana warisan ini
sememangnya khazanah yang amat berharga.
#Anda bagaimana? Apakah posisi anda? Apakah gelaran
atau panggilan buat anda?
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG
GELAP*
No comments:
Post a Comment