Thursday, 19 April 2012

29- Tindakan? Kemalangan?


Mengikuti kursus Bahasa dan Komunikasi sewaktu semester tiga telah memahamkan saya bahawa bahasa terbahagi kepada dua jenis, iaitu bahasa lisan dan bukan lisan. Lisan adalah tentang apa yang diujarkan melalui alat-alat artikulasi. Bukan lisan pula termasuklah apa yang ditulis atau diperlihatkan menerusi bahasa badan. Fungsi bahasa pula adalah untuk membina perhubungan, di samping untuk menyampai dan menerima maklumat. Demikianlah, bahasa turut digunakan untuk memperlihatkan suara hati kita. Menjadi lumrah manusia, kadang-kadang apa yang dirasai tidak mudah disuarakan kepada orang lain, meskipun terhadap sahabat karib sendiri. Saya menyerlahkan topik ini berdasarkan alasan tersendiri. Baru-baru ini universiti saya telah gempar dengan kejadian seorang pelajar perempuan semester empat yang meninggal dunia setelah dikatakan terjatuh dari bangunan E-Learning. Berhubung dengan kes tersebut, saya telah mendengar pelbagai andaian tentang punca dia terjatuh Antaranya termasuklah dia mempunyai penyakit misteri sehingga mendengar bisikan-bisikan halus agar dia bertindak terjun dari bangunan  itu. Ada juga yang mengatakan bahawa arwah mempunyai masalah keluarga. Tertekan dengan keadaan tersebut, dia bertindak membunuh diri. Sekiranya benar, adakah dia melakukan demikian sebagai cara untuk mempamerkan perasaan kecewa, tertekan, sedih dan sebagainya? Hal ini demikian kerana pada awal tahun yang lalu, saya pernah terbaca berita dalam akhbar bahawa seorang gadis berbangsa cina nekad membunuh diri akibat kecewa setelah bergaduh dengan teman lelakinya. Maksudnya, gadis tersebut cuba melampiaskan rasa marah dan kecewanya dengan membunuh diri. Hal ini demikian supaya teman lelakinya tahu bahawa dia sangat mencintai teman lelakinya itu. Demikianlah betapa cinta, marah, sedih kecewa diungkapkan dengan cara yang tidak bermoral. Bukankah kita dikurniakan pelbagai pilihan untuk mengungkapkan kesemua rasa tersebut? Kenapa bahasa lisan yang boleh dimanfaatkan dengan baik sengaja dinafikan kepentingannya? Hmm, apa-apa pun, Wallahualam. Semua kebenaran hanya diketahui oleh-Nya. Sebagai manusia biasa, apa yang harus kita lakukan adalah dengan bersangka baik dan berdoa agar dijauhkan daripada sebarang kecelakaan.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

No comments:

Post a Comment