Thursday, 26 April 2012

34- Senyap? Bising?


Pada hari Jumaat yang lalu, saya telah pulang ke kampung dengan menaiki bas ekspres. Perjalanan selama sejam dari Tanjung Malim ke Ipoh saya rasakan sebagai satu perjalanan yang amat seksa bagi saya. Hal ini demikian kerana kebiasaannya saya pat tidur juga sebentar walaupun tempoh perjalanan hanya sejam lebih. Walau bagaimanapun, pada hari itu saya berasa sangat tidak selesa untuk tidur disebabkan gangguan yang ada di dalam bas yang saya naiki itu. Gangguan yang saya maksudkan itu datangnya daripada dua orang penumpang India yang bersembang dengan sangat kuat. Saya tidak hairan jika mereka duduk berjauhan. Sebaliknya, mereka hanya duduk sebelah-menyebelah pula bersebelahan dengan kerusi yang saya duduk. Dengan butir-butir bahasa yang saya tidak faham, saya berasa sangat rimas. Untuk seketika, saya ada melihat mereka dengan harapan mereka faham isyarat saya supaya bersembang dengan lebih perlahan. Namun begitu, tetap tidak ada sebarang perubahan. Malah, mereka terus bersembang dengan nada yang sangat kuat. Saya berasa keadaan tersebut bukan hanya mengganggu saya seorang, bahkan penumpang-penumpang yang lain juga. Saya mengandaikan demikian melihat kepada gelagat penumpang lain yang juga kelihatan seolah-olah tidak selesa dengan tingkah laku mereka berdua sejak awal perjalanan. Demikianlah, keadaan tersebut berlanjutan sehinggalah bas tiba ke destinasi, iaitu di Medan Gopeng, Ipoh. Semoga tidak ada dalam kalangan kita yang bersikap demikian, kerana gangguan yang dilakukan langsung tidak mencerminkan ketinggian budi bahasa kita terhadap orang lain.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

No comments:

Post a Comment