Tuesday, 24 April 2012

32- Cantik? Pelik?


Hari ini asyik saya menonton video nyanyian Jalil Hamid, iaitu lagu Ayam, saya teringat pula akan lagu beliau yang bertemakan makanan. Contoh lirik lagu tersebut ialah:-
Makanan pelik-pelik…Tahi minyak tahi itik….
Ya, kita tidak dapat nafikan bahawa di dunia ini meski di mana-mana sahaja pasti terdapat walau tidak banyak, sedikit makanan yang pelik. Pelik dari segi kewujudannya, rupa fizikalnya mahupun namanya. Namun begitu, keganjilan makanan yang pelik-pelik ini pada saya tidak ada apa-apa yang perlu untuk kita terlalu memikirkannya. Apa yang ingin saya kongsi di dalam entri ini adalah tentang pakaian manusia yang pelik-pelik. Saya mengamati, semakin bertambah arus kemajuan dalam bidang fesyen, semakin pelik pula fesyen yang digayakan oleh sebilangan masyarakat yang terlalu obsesi dengan dunia fesyen. Sebelum bercerita, saya ingin memohon maaf seandainya cerita yang saya paparkan ini menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Saya bukan ingin menunjuk pandai, tetapi hanya ingin berkongsi dengan semua. Semasa sedang berjalan-jalan di dalam pasar raya bersama-sama dengan kakak saya beberapa minggu yang lalu, kami berdua terpana apabila melihat seorang gadis yang unik penampilannya.  Masakan tidak, gadis tersebut menggayakan kemeja berwarna kuning terang. Selendang kepalanya berwarna coklat gelap. Manakala beg tangannya pula berwarna hitam di samping jeans yang berwarna kelabu serta kasut sarung berwarna merah terang. Rasa terkejut kami berdua disusuli dengan sedikit ketawa kecil. Demikianlah betapa cara pemakaian turut memberi impak kepada seseorang. Saya lantas mengandaikan bahawa sesetengah orang lain mungkin tidak meramal atau membaca perwatakan kita semata-mata secara personal. Pasti ada yang menganalisis diri kita berdasarkan apa yang dilihat dari luar seperti melihat secara teliti akan pemakaian kita. Oleh yang demikian, berhati-hatilah dalam memilih soal gaya, corak, warna dan kesemua elemen lain yang berkaitan dengan fesyen kita. Hal ini demikian bukanlah untuk orang-orang tertentu sahaja, bahkan termasuklah untuk semua golongan masyarakat. Dengan begitu, tidak akan adalah umpatan atau sindiran daripada masyarakat sekeliling meskipun dalam hal yang kita rasakan tidak terlalu menjadi masalah. Bukankah soal berpakaian juga mencerminkan bahasa dan budaya masyarakat?
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP-

No comments:

Post a Comment