Tuesday, 17 April 2012

27- Suratan? Kebetulan?



Petang ini, sambil menyiapkan tugasan, telinga saya disajikan dengan lagu-lagu yang cukup indah oleh ‘deejay’ Suria FM. Deria bunyi saya menangkap jelas bait-bait lagu “Suratan atau Kebetulan” saat lagu tersebut ke udara. Setelah habis lagu mendengar lagu tersebut, saya mula memikirkan tajuknya- Suratan atau Kebetulan. Saya cuba mengaitkannya dengan realiti hidup kita sebagai manusia. Kadang-kadang saya sendiri keliru akan setiap perkara yang telah saya lalui sepanjang hampir 23 tahun hidup di bumi Allah S.W.T. ini. adakah semua perkara yang saya lalui itu sebenarnya memang satu suratan atau ada kalanya hanyalah kebetulan semata-mata. Untuk lebih jelas, suratan bermaksud takdir atau ketetapan Allah S.W.T. terhadap makhluk-Nya. Kebetulan pula ialah sesuatu yang berlaku tanpa disangka-sangka atau disengajakan. Kadang-kadang apabila kita gagal dalam peperiksaan, kita menyejukkan hati dengan berkata “Ah, itu kan takdir. Allah dah tetapkan kita akan gagal. Jadi terima sahaja”. Astaghfirullah, jika kegagalan itu disebabkan sikap kita yang sengaja tidak mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan, adakah wajar kita menyalahkan takdir Allah? Demikian pula, apabila kita sebenarnya berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya, pasti kita marah jika orang lain mengatakan bahawa kejayaan kita hanya satu kebetulan. Mungkin kebetulan pada masa itu guru atau pemeriksa baik hati untuk memberi markah tinggi. Walau apa sekalipun tanggapan kita, adalah lebih baik jika kita semua kembali kepada hakikat yang sebenar. Apabila menyebut tentang takdir atau ketetapan Allah S.W.T., sebenarnya takdir itu terbahagi kepada dua, iaitu Takdir Muallaq(berubah-ubah) dan Takdir Mubram(tetap). Takdir yang berubah-ubah termasuklah perihal rezeki kita. Oleh itu, kita diseru untuk berusaha bagi memperoleh rezeki yang banyak dan halal pula. Oleh itu, sebagaimana contoh peristiwa di atas, iaitu perihal kejayaan dan kegagalan dalam peperiksaan, kita tidak boleh menyerahkan kepada takdir semata-mata. Paling penting, berusaha, berdoa dan bertawakal. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu. Bagi yang berhadapan dengan pelbagai masalah pada masa yang sama, anggaplah itu semua sebagai ujian daripada Allah S.W.T. untuk memandu kita ke arah yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment