Hari ini saya ke kelas
seperti biasa. Ya, seperti biasa, ke kelas dengan menaiki bas. Dalam keadaan
yang berhimpit-himpit di dalam bas itu saya membayangkan apakah yang akan
terjadi sekiranya bas tersebut mengalami kemalangan(nauzubillahiminzalik). Pasti
yang akan terselamat hanya sebilangan kecil sahaja, atau lebih parah tidak ada
seorang pun yang akan selamat. Demikianlah gambaran bagi tingginya risiko
kesemua penumpang bas ke kelas. Hal ini demikian termasuklah yang menaiki bas
ke kampus lama mahupun ke kampus baru di bumi Tanjong Malim ini. Seperti
menyerahkan nyawa sepenuhnya kepada pemandu bas untuk dijaga dengan baik,
apakah setiap pemandu bas sebenarnya menyedari akan tanggungjawab yang dipikul
itu? Iaitu untuk memastikan kesemua penumpang tiba ke destinasi mereka dengan
selamat. Memang tidak dapat dinafikan, jodoh dan maut atau ajal itu di tangan
Allah. Tetapi sebagai pemikul amanah, adakah pemandu-pemandu bas ini telus
dengan apa dilakukan oleh mereka. Saya berkata demikian melihatkan fenomena
yang saya alami setiap hari. Selagi bas belum terisi dengan penumpang yang tak
ubah seperti ikan sardin padatnya, maka selagi itulah bas tidak akan bergerak
walaupun seinci. Hanya apabila penumpang telah padat sehingga membolehkan muka
melekat pada pintu bas barulah bas tersebut rela bergerak. Keadaan yang lebih
membimbangkan adalah apabila bas yang muatannya penuh itu meluncur laju di atas
jalan raya bagai F1 lagaknya. Walaupun kami yang pelajar ini bukanlah termasuk
dalam golongan ibu mengandung mahupun pesakit jantung, tetapi dengan keadaan
bas yang penuh dan dipandu laju sedemikian rupa memang mampu membuatkan hati
kami kecut seperti kain basah yang diperah-perah. Semoga semua pemandu bas
mengerti akan peranan mereka sebagai pemandu bas, iaitu menjamin keselamatan
pelajar agar mereka dapat tiba ke destinasi ilmu dengan selamat. Sesungguhnya kesedaran
ini juga adalah sebagai satu usaha murni
untuk menggalas harapan kesemua ibu bapa pelajar.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*
No comments:
Post a Comment