Hari ini saya sempat
menonton filem Cinta Kura-kura bersama-sama dengan teman serumah. Sangat menarik
jalan cerita tersebut. Kombinasi barisan pelakonnya juga adalah hebat. Mana tidaknya,
filem tersebut dibintangi oleh Zizan Raja Lawak, Usop Wilca, Fara Fauzana,
Aeril Zafril, Bob Af dan heroinnya pula ialah Tiz Zaqiah. Pada pandangan saya,
kehebatan jalan cerita bagi filem ini terletak pada watak-wataknya, iaitu
penampilan manusia biasa dan kura-kura yang boleh bercakap dengan manusia. Jika
difikirkan dari segi logik, memanglah tidak logik bunyinya. Namun, hasil
sentuhan dan garapan pengarahnya, saya yakin dan percaya bahawa penonton mampu
menerima keunikan yang terdapat dalam filem tersebut meskipun tidak logik. Menonton
filem tersebut memang menyeronokkan. Dialog pelakon yang lucu memang membuatkan
kami mampu ketawa besar. Ada satu perkara yang amat menarik perhatian saya, yang
saya fikir ada kaitan dengan sosiolinguistik. Perkara tersebut adalah tentang
dialek antara penjual akuarium, iaitu Fazli(lelaki Melayu) dengan seorang tauke
restoran makanan eksotik, iaitu En. Lim(lelaki cina). Saya mendapati Fazli yang
berbangsa Melayu berkomunikasi dengan En. Lim menggunakan dialek cina. Antara contoh
tersebut:
Mr Lim: Hei, lu mesti
dapat itu kula-kula jantan.
Fazli : Kura-kura?
Mr Lim: Ha, itu
kula-kula yang wa ada mintak sama itu pelempuan itu hali.
Fazli : Oh, itu kura-kura. Tapi toke, lu kasi
kenal saya punya business sama
kawan-kawan you la
Mr Lim: Takda masalah
punya.
Berdasarkan dialog di
atas, kita dapat melihat betapa Fazli secara tidak langsung cuba menggunakan
dialek cina apabila berkomunikasi dengan orang berbangsa cina. Saya tidak
menolak bahawa ramai lagi masyarakat kita yang menjadi seperti Fazli. Keadaan yang
sama turut terjadi kepada kakak saya yang bekerja di syarikat swasta yang
majoritinya ialah bangsa cina. Demikian lama bekerja dalam kalangan orang cina,
dia amat fasih untuk menggunakan dialek cina apabila berkomunikasi dengan
mana-mana bangsa cina. Hakikat yang kita sedia maklum ialah bahasa Melayu merupakan
bahasa kebangsaan negara. Seharusnya orang cina yang berusaha untuk menggunakan
bahasa Melayu dengan betul, buka kita yang terikut-ikut dengan dialeknya.
No comments:
Post a Comment