Menyebut tentang makanan, saya yakin dan percaya bahawa
setiap individu pasti mempunyai makanan kegemaran tersendiri yang melambangkan
pula identiti negeri asalnya. Misalnya, jika di Kelantan, makanan kegemaran mereka
pastilah budu. Pulau Pinang terkenal dengan jeruk buah. Melaka pula ialah
cencaluk. Demikian pula bagi Perlis, iaitu belacan. Di Johor, penggemar tempe
ramai di sana. Negeri-negeri lain juga pastinya begitu. Saya berasa hairan pula
melihat sesetengah orang yang tidak mahu mengaku dan mengamalkan makanan
tradisi yang biasa diamalkan jika di negeri asalnya. Keadaan ini dapat dilihat
dalam kalangan perantau, baik pekerja mahupun pelajar. Adakah mereka berasa
bahawa standard mereka akan jatuh sekiranya mereka berbuat demikian? Saya pelik
apabila ada yang sanggup berpura-pura mengatakan bahawa belacan itu busuk
semata-mata untuk menjaga imejnya di hadapan kawan-kawan yang tidak memakan
belacan. Ada juga yang mengaku tidak gemar budu. Sebaliknya, apabila pulang ke
negeri asal, makanan itulah yang dicarinya terlebih dahulu. Janganlah kerana
imej, kita sanggup menolak nilai makanan yang biasa menjadi amalan kita dan
keluarga sejak bertahun-tahun lamanya. Sepatutnya kita berbangga dengan apa
yang kita ada. Makanan juga salah satu budaya Melayu bukan?
*BAHASA MEMBUDAYAKAN
MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*
No comments:
Post a Comment