Alhamdulillah…permulaan
Isnin yang penuh indah-seawal jam 00:00 pagi 5 Mac ’12. Kisah bermula apabila saya menaiki kereta api
Senandung Mutiara (BM-TM) koc S2-11D. Baru beberapa ketika tren meluncur,
kedengaran beberapa suara yang rancak bersembang. Walaupun sering kali jua
mendengar orang bersembang di dalam tren, tetapi suara-suara yang ini saya dengar
berbeza. Mereka berbahasa Inggeris dengan cukup lancar, seperti saya yang
berbahasa Melayu. Menariknya, saat saya pandang tepat ke arah mereka(di sebelah
bangku saya) mereka ialah warga emas rupa-rupanya:-3 orang(seorang perempuan,
dua orang lelaki).
Seakan-akan tidak
percaya, ketiga-tiga mereka merupakan golongan orang kurang upaya(cacat
penglihatan). Saat mereka berbual dengan kakitangan KTM, mereka sebenarnya
berupaya untuk berbahasa Melayu dengan fasih juga. Perkara yang paling membuat
saya terpegun ialah keupayaan mereka untuk berbahasa Melayu dengan baik. Mereka
menyapa orang lain dengan panggilan “encik” dan sentiasa menggunakan bahasa
yang sangat santun. Apabila mereka mendengar suara kanak-kanak di hadapan
mereka(sememangnya kanak-kanak itu sedang memerhatikan mereka), salah seorang
daripada mereka membalas, “Yes, hello my dear friend” Jujur, mereka sangat
berbudaya. Keadaan ini membuatkan saya terus memerhati mereka. Memang, saya
sangat terpesona.
Kelakuan mereka di
dalam kereta api terus menarik minat dan perhatian saya. Untuk suatu ketika,
saya mendapati mereka ada masalah berhubung dengan masalah pembuangan sampah.
Saat meraba-raba mencari plastik untuk membuang sampah(sememangnya tiada
plastik di tempat duduk mereka) saya menawarkan diri untuk menolong.
Alhamdulillah, mereka begitu menghargai sekelumit ihsan yang saya hulurkan.
Ucapan terima kasih dilontarkan dengan penuh bermakna dengan senyuman yang
manis terukir di wajah mereka. Saya yakin, mereka dapat melihat saya di dalam
hati mereka.
Untuk kali kedua,
mereka ada masalah lagi, iaitu untuk membuang bekas minuman pula. Mereka jelas
seperti tercari-cari saya(mereka mengagak saya berada di tempat duduk sebelah).
Tanpa berlengah, saya menolong sekali lagi. Sekali lagi, ucapan terima kasih
yang diucap tanpa sedar membuatkan saya
begitu terharu. Kesempatan ini saya ambil untuk berbual dengan mereka. Menurut
pak cik Siman(salah seorang daripada mereka), mereka semua tinggal di Sri
Damansara, Kuala Lumpur dan pergi menziarahi rakan di Georgetown. Kata beliau
juga, mereka memang telah biasa pergi berjalan-jalan.
Berdasarkan perbualan
ringkas yang lain, saya mengandaikan pak cik Siman dan isteri serta sahabatnya
bukanlah seperti orang kurang upaya yang selalu saya sifatkan. Mereka ini pasti
orang yang cukup berdikari, bebas dan berpengetahuan tinggi. Hal ini kerana
beliau dapat membuat andaian dengan tepat apabila saya mengatakan saya hendak
ke Tanjong Malim. Tanya beliau: “Oh,
Shifa belajar di maktab perguruan tu ya?” beliau juga ada bertanya tentang
jurusan yang saya ambil dan sebagainya yang berkaitan.
Untuk minit-minit yang
seterusnya, saya membantu pak cik Siman dan isteri untuk menurunkan kerusi ,
dan biarkan mereka berehat sementara kereta api terus meluncur. Sampai ke
Tanjong Malim, saya memberitahu mereka
yang saya akan turun. Antara ayat mereka:- “Shifa dah sampai ya?” “Terima kasih
banyak-banyak ya Shifa.” “Jaga diri
baik-baik ya Shifa.” Ah, lontaran ucapan yang memberatkan kaki saya untuk
melangkah. Namun, jauh di dalam hati saya teramat bersyukur ditakdirkan untuk
bertemu hamba-hamba Allah yang istimewa ini. Bersama-sama plastik sampah yang
masih erat digenggam, inilah kali pertama saya keluar daripada kereta api
dengan 1001 makna. Buat pak cik Siman dan sahabat, semoga kalian juga sentiasa
berada dalam keadaan yang baik. Insya-Allah, andai ada rezeki, pasti kita
berjumpa lagi.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN
MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*