Friday, 30 March 2012

20- Muzik? Lagu?


Hari ini saya berulang kali mendengar lagu Anak Kampung oleh Jimmy Palikat iaitu penyanyi dari Sabah.  Lagu tersebut sangat sedap didengar walaupun liriknya dalam dialek Sabah. Jadi, siapa kata lagu tempatan negeri kita tidak boleh dipopularkan? Paling penting ialah keyakinan dan kesungguhan kita untuk mengangkat darjat semua khazanah yang kita miliki. Sesungguhnya, usaha yang sedikit jika dilakukan berterusan pasti akan meraih keuntungan yang melimpah.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*



Thursday, 29 March 2012

19- Nama? Gelaran?


Hari ini saya secara tidak sengaja telah terdengar seseorang memanggil anaknya dengan panggilan ‘boy’. Ya, memang anaknya lelaki. Pada saya, mungkin itulah nama timangan atau nama manja bagi anaknya itu. Lantas saya teringat kepada diri sendiri yang sering dipanggil “pakya” oleh abang-abang pada masa kecil dahulu. Saya sendiri juga tidak tahu apakah makna nama tersebut. Tetapi saya langsung tidak kisah dipanggil demikian, malah tetap menyahut sekiranya dipanggil dengan nama itu. Tapi, kini tidak lagi. Tersenyum sendiri apabila teringatkan nama tersebut. Demikian juga, di dalam kampung saya terdapat ramai orang yang dikenali menerusi gelaran nama yang tersendiri. Gelaran ini biasanya digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang mempunyai nama yang sama dengan nama beberapa orang lain di suatu tempat atau kawasan yang sama. Pendek kata, melalui gelaran inilah maka seseorang itu dapat dibezakan antara satu dengan yang lain sekiranya mempunyai nama yang sama. Sebagai contoh, ada gelaran ‘Lah Wangi’, ‘Lid Kura’, ‘Lid Kurus’, ‘Lid Boroi’, ‘Man Sengau’, ‘Man Gajah’, ‘Man Bom’, ‘Mi Kalut’, ‘Mat Lanai’,  ‘Ad Biskut’, ‘Cina Pendek’ dan sebagainya. Itulah antara nama-nama gelaran bagi orang-orang di kampung saya. Nama-nama ini pula ada kaitan dengan siri orang itu sendiri baik dari segi sifat semulajadi, pekerjaan dan rupa fizikalnya. Kadang-kala kedengaran lucu juga apabila mendengar nama-nama itu disebut. Persoalannya, bagaimanakah penerimaan orang-orang itu sendiri, iaitu orang-orang yang digelar atau dipanggil dengan sedemian gelaran. Sukakah atau marahkah mereka? Sekalipun marah, mereka pasti tidak mampu untuk menahan orang lain daripada tetap memanggil dengan nama-nama tertentu. Apa yang penting, perlulah diingat bahawa sekalipun kita ingin memanggil orang lain dengan gelaran-gelaran tertentu, janganlah sehingga mencalarkan maruahnya atau merendahkan dirinya. Hal ini demikian kerana kita sendiri juga tidak senang sekiranya orang lain memperlakukan kita sebegitu.
#Tepuk dada, tanya selera.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Wednesday, 28 March 2012

18- Lembu? Sapi?


Hari ini sedang asyik membelek-belek barang di kedai runcit, entah bagainama mata saya menangkap satu barang, iaitu minyak sapi. Lantas dalam kepala terbayangkan hal yang minyak sapi itu sebenarnya bukanlah daripada susu sapi itu sendiri. Sebaliknya adalah daripada susu lembu. Aneh kan, lembu punya susu, tetapi sapi yang senang-senang mendapat nama. Namun, sebenarnya tidaklah aneh sangat, kerana dalam dunia realiti pun, keadaan ini turut belaku. Lebih dasyat, berlaku dalam kalangan manusia. Situasi paling kita tidak gemari tentulah apabila segala usaha kita dimonopoli oleh orang lain. Hal ini demikian berlaku apabila orang lain menggunakan namanya atas segala pekerjaan yang telah kita usahakan. Paling tidak enak apabila orang tersebut sedikitpun tidak mencurahkan apa-apa usaha walaupun sekelumit. Orang lain yang berpenat-lelah menyiapkan segala kerja, dia pula yang sedap-sedap meratah segala habuan. Semoga kita tidak tergolong ke dalam golongan orang yang mempunyai sifat-sifat tersebut.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*


Tuesday, 27 March 2012

17- Panggil? Jawab?



Pasti ramai yang masih ingat pada lagu ini:-
Telefon berbunyi ring..ring..ring..kuangkat kudengar suara
Telefon berbunyi ring..ring..ring..kujawab kutanya siapa
Hehehe. Kisah saya pada hari ini ada kaitan rapat dengan panggilan telefon. Sebenarnya sudah acap kali juga saya menerima panggilan daripada orang yang tidak saya kenali sepanjang lebih tujuh tahun menggunakan telefon bimbit. Hari ini, kejadian yang sama berulang lagi. Kebiasaannya apabila kita ingin mendail nombor seseorang, kita haruslah mengenali dirinya, iaitu khususnya dari segi nama orang yang ingin dihubungi itu. Tidaklah terjadi keadaan sebegini:-
(Pemanggil: A)
(Orang yang dihubungi: B)
            B: Hello?
            A: Hello, assalamualaikum.
            B: Waalaikumussalam. Siapa ini?
            A: Awak siapa?
            B: Awak mahu cari siapa?
            A: Yang menjawab panggilan ini siapa?
            B: Awak yang menelefon, jadi awak mesti tahu ini nombor siapa.
            A: Ya, jadi awak siapa?
            B: Awak siapa sebenarnya?
            ……………………….(talian dimatikan)
Mungkin panggilan sebegini sering dilakukan oleh segelintir orang yang berniat nakal, iaitu untuk mengusik teman-teman atau sebagai salah satu taktik untuk memikat seseorang(berkenalan). Mungkin juga disebabkan pemanggil ini malu untuk mengenalkan dirinya terlebih dahulu. Namun, jika benar bertujuan baik, tidak ada sebab untuk berasa malu. Tambah-tambah jika mempunyai hal penting untuk disampaikan. Bagi pihak yang dihubungi, keadaan begini pasti menyakitkan hatinya. Walaupun tidak susah untuk dia memberitahu siapa dirinya, tapi sebagai orang yang dihubungi, dia pasti mengandaikan pemanggil telah sedia tahu siapa dirinya.
# Demikianlah, apabila kita yang ingin menghubungi orang lain, maka wajarlah kita yang memperkenalkan siapa diri kita, bukan kita yang bertanya siapa diri orang yang kita hubungi itu. Sesungguhnya adab itu ada di mana-mana.
                                            
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*




Monday, 26 March 2012

16- Dialek

Dialek ialah satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial. Ia berbeza daripada bahasa standard. Perbezaannya adalah dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa, iaitu berbeza daripada bahasa baku. Digunakan secara tidak rasmi dalam perhubungan kekeluargaan dan perhubungan harian. Sebagai anak jati Pulau Pinang, saya juga mempunyai dialek tersendiri, iaitu dialek utara. sememangnya dialek diguanakn dalam perbualan sehari-hari bagi maksud tidak formal. Antara contoh dialek saya ialah:-
"Hang nak pi mana?" 
= "Awak mahu pergi ke mana?"
"Tak payah duk kalut pasai aku."
= "Jangan sibuk pasal say.?"
Selain berbeza sebutan, terdapat juga perbezaan kata yang jelas antara dialek Utara dengan Dialek Johor-Riau. Ciri utama dialek ini adalah sebutan ‘a’ dihujung kata yang dibunyikan secara baku.

Ejaan Standard              Dialek Utara

Saya                             Saya (mengikut sebutan baku)

Dia                              Dia (mengikut sebutan baku)

Mana                           Mana (mengikut sebutan baku)


#Huruf ‘r’ di akhir kata diganti dengan bunyi ‘q’. Lihat contoh:

Ejaan Standard              Dialek Utara

Bergetar                        Bergetaq

Ular                                Ulaq

Telur                             Teloq

#Bunyi ‘i’ di tengah digantikan dengan bunyi ‘ia’

Ejaan Standard           Dialek Utara

Pasir                          Pasiaq

Baligh                       Baliaq

#Kata-kata yang berbeza dengan Bahasa Melayu Standard.

BM Standard           Dialek Utara

Awak / Kamu            Hang

Mereka (bunyi ě)      Depa (sebutan baku)

Sekejap                   Sat

Kenapa (bunyi ě)     Awat


Pergi                       Pie

Kelapa (bunyi ě)     Nyo