Friday, 4 May 2012

40- Raja? Permaisuri?


Hari ini, secara tidak sengaja saya mendengar beberapa orang menyebut istilah King control dan Queen Control dalam perbualan mereka. Sejenak saya terfikir, apakah maksud sebenar di sebalik perwatakan king control dan Queen Control ini? Adakah kedua-duanya bermaksud penguasa, iaitu lelaki yang bersifat King Control akan menguasai perempuan sepenuhnya, manakala perempuan yang bersifat Queen Control akan menguasai lelaki sepenuhnya? Adakah wajar keadaaan sedemikian wujud? Biasanya istilah ini dirujuk kepada pasangan suami-isteri. Jika si isteri yang dilihat lebih banyak mengawal pergerakan si suami, maka akan timbullah gelaran Queen Control. Jika keadaan berlaku sebaliknya, akan timbul pula gelaran king control. Baiklah, saya berasa tidak berasas sebenarnya kedua-dua gelaran ini diberikan sama ada kepada suami mahupun isteri. Hal ini demikian kerana, rukun hidup sebagai suami-isteri adalah untuk saling-melengkapi. Taraf isteri adalah di sisi suami, bukan di bawahnya jauh sekali di atasnya. Memang terdapat ungkapan bahawa syurga isteri di bawah telapak kaki suami dan suami berhak mengawal perlakuan isteri. Walaupun benar penyataan tersebut, tetapi sebagaimana dikatakan tadi, suami-isteri adalah pasangan yang saling-melengkapi. Jika salah, kedua-duanya boleh saling menegur dan ditegur. Tidak wajar jika hanya salah seorang yang berkuasa penuh ke atas seorang lagi. Oleh yang demikian, adalah baik sekiranya kita sebagai masyarakat cuba mengikis stigma tersebut.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*




39- Mahu? Malu?


Menyebut  tentang makanan, saya yakin dan percaya bahawa setiap individu pasti mempunyai makanan kegemaran tersendiri yang melambangkan pula identiti negeri asalnya. Misalnya, jika di Kelantan, makanan kegemaran mereka pastilah budu. Pulau Pinang terkenal dengan jeruk buah. Melaka pula ialah cencaluk. Demikian pula bagi Perlis, iaitu belacan. Di Johor, penggemar tempe ramai di sana. Negeri-negeri lain juga pastinya begitu. Saya berasa hairan pula melihat sesetengah orang yang tidak mahu mengaku dan mengamalkan makanan tradisi yang biasa diamalkan jika di negeri asalnya. Keadaan ini dapat dilihat dalam kalangan perantau, baik pekerja mahupun pelajar. Adakah mereka berasa bahawa standard mereka akan jatuh sekiranya mereka berbuat demikian? Saya pelik apabila ada yang sanggup berpura-pura mengatakan bahawa belacan itu busuk semata-mata untuk menjaga imejnya di hadapan kawan-kawan yang tidak memakan belacan. Ada juga yang mengaku tidak gemar budu. Sebaliknya, apabila pulang ke negeri asal, makanan itulah yang dicarinya terlebih dahulu. Janganlah kerana imej, kita sanggup menolak nilai makanan yang biasa menjadi amalan kita dan keluarga sejak bertahun-tahun lamanya. Sepatutnya kita berbangga dengan apa yang kita ada. Makanan juga salah satu budaya Melayu bukan?
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*





38- Seorang? Kumpulan?


A: Nanti kita buat macam ni ya tugasan kita?
B: Kita boleh cari kaedah yang lain juga.
C: Ya, nanti apabila cukup semua bahan, kita berbincang semula.
Pertemuan seterusnya.
A: Lihat, saya sudah siapkan tugasan kita. Cantik tak?
B: Awak buat seorang?
A: Ya, kan kita sudah setuju untuk buat begini.
C: Tapi kan kita sudah berjanji untuk berbincang dahulu dan membuatnya bersama-sama.
A: Oh, tak mengapa. Saya rasa saya buat seorang pun sudah cukup.
B+C: ???

Ah, bekerjasama dengan orang sebegini ada kalanya memudahkan. Mudah apabila kita tidak perlu risau tentang apa-apa kerja kerana yakin sudah pasti dia akan melakukan kesemuanya. Kadangkala merumitkan juga. Bagaimana jika apa yang dilaksanakannya itu tidak bertepatan dengan arahan yang diberikan. Nescaya satu kumpulan akan menerima nasibnya. Bukankah banyak kepala itu lebih baik daripada satu kepala? Maksudnya perkongsian idea lebih baik daripada idea yang diperah secara berseorangan. Baiklah, katakan sahaja tugasan kumpulan yang dilaksanakan oleh salah seorang ahli kumpulan kita secara bersendirian tepat 100% dan diterima sepenuhnya oleh penilai. Apakah nasib ahli-ahli kumpulan yang lain? Apakah pulangan buat mereka dari sudut ilmu? Maknanya mereka hanya mendapat markah semata-mata, sebaliknya ahli kumpulan yang melaksanakan secara berseorangan itu mendapat kedua-dua manfaat, iaitu markah dan ilmu yang tidak ingin dikongsi bersama. Ingat, yang penting ialah kerjasama,.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*

Tuesday, 1 May 2012

37- A? B?


Lidah biawak…ya, satu simpulan bahasa dalam bahasa Melayu yang sangat keras maksudnya. Simpulan bahasa ini ditujukan kepada sesiapa sahaja yang suka bercakap secara berbelit-belit. Maksudnya, pada satu ketika dia bercakap seperti lain. Kemudian pada waktu yang lain, lain pula yang dicakapkan atau disampaikan. Orang-orang sebegini pasti akan menimbulkan masalah dan amarah yang tinggi terhadap orang sekelilingnya. Saya terdetik untuk menulis tentang hal ini kerana saya asyik sahaja berdepan dengan orang yang bersifat lidah biawak ini. Sungguh, saya berasa sangat susah untuk berurusan dengan orang sebegini. Pada ketika dia menyuruh atau meminta kita melaksanakan sesuatu kerja dengan arahan yang tertentu, akhirnya setelah disiapkan, hasil kerja tersebut dikritiknya pula. Keadaan yang membuatkan seseorang marah kepada orang-orang begini adalah apabila dia cuba memutar-belit pula apa yang disampaikan dalam arahan terdahulu. Keadaan ini menunjukkan bahawa dia seolah-olah cuba menyimpulkan bahawa kitalah yang bersalah, iaitu tidak faham akan arahan yang diberikan.  Semoga pemilik lidah biawak ini sedar akan kekhilafan mereka dan tidak mencuba untuk membenarkan yang salah mahupun menyalahkan yang benar.
*BAHASA MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT-PENERANG BAGI YANG GELAP*